Khamis, 31 March 2016 | 3:54pm
PENGETUA Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 1, Mukhter Mahmod (kiri) bersama guru Bahasa Melayu, Mohd Sabari Mahasan (tengah) dan pelajarnya yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). - Foto Nik Abdullah Nik Omar

SKOR BH bantu keputusan cemerlang

KOTA BHARU: Penggunaan sisipan SKOR dalam akhbar BH banyak membantu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 1 untuk muncul sekolah terbaik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu.

Keputusan berkenaan dicapai dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2015, selain tempat kelima peringkat Kelantan.

Pengetuanya, Mukhter Mahmod, berkata banyak input dimuatkan dalam sisipan SKOR dan memudahkan pelajar serta guru mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

"Sisipan SKOR BH menjadi sumber rujukan terkini yang sangat sesuai untuk soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mukhter berkata, sekolah itu melanggan 150 naskhah sisipan SKOR seminggu.

Sebelum ini, katanya, sekolah hanya melanggan akhbar BH untuk kegunaan calon STPM tetapi bermula tahun ini, ia turut difokuskan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas melihat keperluan soalan peperiksaan yang semakin mencabar.

Sehubungan itu, bengkel khas diadakan di dewan sekolah terbabit hari ini untuk mendedahkan penggunaan sisipan SKOR kepada pelajar, terutama pelajar Tingkatan Lima.

Bengkel separuh hari itu dianjur bersama Pusat Sumber Sekolah (PSS), Unit Kecemerlangan SPM dan Panitia Bahasa Melayu sekolah berkenaan yang membabitkan lebih 300 murid Tingkatan Lima dan Enam.

Bengkel turut dihadiri dua pegawai dari PPD Kota Bharu dan mendapat sambutan positif pelajar.

Berita Harian X