Khamis, 31 March 2016 | 9:09am

Pekebun ditemui mati dengan kesan kelar

MELAKA: Seorang pekebun warga Bangladesh ditemui mati dengan kesan kelar di leher dan badan berhampiran sebuah rumah kongsi di Sungai Gadong, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah kira-kira jam 9.50 malam.

"Pemeriksaan awal menemui kesan kelar di perut dan kanan leher, disyaki menggunakan senjata tajam.

"Polis menahan seorang lelaki senegaranya yang juga rakan serumah mangsa berusia 30-an bagi membantu siasatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, awal pagi ini.

Shaikh Abdul Adzis berkata, mayat mangsa yang ditemui kira-kira 60 meter dari rumah kongsi berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Berita Harian X