Rabu, 30 March 2016 | 9:00pm

Segerakan sistem panggilan kecemasan OKU - Bomba

SEREMBAN: Pelaksanaan sistem panggilan kecemasan untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) perlu disegerakan memandangkan angka kematian melibatkan golongan itu di kediaman semakin meningkat setiap tahun.

Penolong Ketua Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Rusmani Muhamad, berkata sistem dari Eropah itu sudah melalui tempoh percubaan sejak dua tahun lalu bagi memudahkan OKU membuat panggilan kecemasan.

"Pelaksanaannya harus dipercepatkan agar golongan istimewa ini dapat membuat panggilan ketika mereka berada dalam kecemasan, dengan lebih mudah. Kita percaya sistem ini mampu mengurangkan kadar kes kematian OKU, yang mengalami kesukaran untuk berkomunikasi ketika waktu kritikal.

"Kebanyakan kes maut melibatkan golongan berkenaan disebabkan tidak dapat berkomunikasi dengan pusat panggilan kecemasan bagi melaporkan kejadian berlaku," katanya selepas perasmian Seminar Keselamatan Kebakaran di Premis di sini, hari ini.

Turut hadir, Penolong Ketua Pengarah Bahagian Latihan, Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Norazam Khamis.

Mengulas lanjut, Rusmani meminta supaya Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Telekom Malaysia (TM) segera melaksanakan sistem itu yang perlu disambungkan kepada Perkhidmatan Respons Kecemasan Malaysia 999 (MERS999).

Katanya, menerusi sistem itu, isyarat kecemasan akan disambungkan kepada agensi bertanggungjawab seperti polis atau bomba bagi kes jenayah atau kebakaran dengan mendail talian 999 dan menekan butang khas untuk melaporkan kebakaran.

"Sebagai contoh jika rumah yang terlibat dalam kebakaran diduduki oleh golongan bisu dan pekak, mereka hanya perlu mendail nombor 999 dan menekan butang khas untuk melaporkan kebakaran.

"Seterusnya, Pusat Gerakan Operasi negeri akan menggerakkan pasukan penyelamat bagi membantu mangsa tersebut," katanya.

Seminar itu dihadiri 235 peserta terdiri daripada pemilik premis, jurutera, arkitek, pemaju hartanah dan pegawai keselamatan. - BERNAMA

Berita Harian X