Isnin, 27 Oktober 2014 | 1:53pm

MATRADE mahu teroka Afrika, Amerika Selatan, Myanmar sebagai pasaran baharu

IPOH: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan negara Afrika dan Amerika Selatan sebagai pasaran baharu untuk produk dan perkhidmatan tempatan.

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Pengekport MATRADE, Zulkepli Mohd Perai, berkata syarikat pengeksport di negara ini boleh mengambil faedah daripada potensi yang ada di negara berkenaan.

"Negara terbabit mempunyai banyak sumber. Inilah ekonomi baharu yang sedang berkembang, yang mempunyai banyak peluang yang boleh kita terokai," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Forum Pengeksport anjuran perbadanan itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam konteks negara ASEAN pula, Myanmar yang kini mula membuka pasarannya, mempunyai banyak peluang perniagaan dan perdagangan.

Bagaimanapun, pada peringkat awal ini, MATRADE bersikap selektif mengenai produk dan perkhidmatan yang ingin dibawa ke negara itu, katanya.

"Myanmar mempunyai banyak potensi, tetapi kita perlu berhati-hati kerana mereka baru sahaja mahu membina sistem mereka. Apabila struktur pasaran di sana sudah kukuh, kita boleh memasuki pasaran mereka dengan lebih mudah," katanya.

Zulkepli berkata, MATRADE banyak menganjurkan program di Myanmar dalam usaha mengetengahkan jenama produk dan perkhidmatan dari negara ini.

"Myanmar tidak banyak terdedah kepada jenama, jadi kalau jenama kita masuk pasaran mereka lebih awal, kita boleh menjadi pengeksport yang kukuh," katanya.

Beliau berkata, kewujudan bank Malaysia di Myanmar juga akan memberi kelebihan kepada pengekspot kerana urus niaga akan menjadi lebih mudah.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bagi merasmikan forum itu, menggesa lebih banyak syarikat di Perak mendaftar sebagai anggota MATRADE.

"Setakat ini hanya 577 syarikat yang mendaftar dan masih banyak lagi yang tidak berbuat demikian," katanya.

Beliau juga meminta MATRADE membuka pejabat tetapnya di sini berbanding perkhidmatannya dua hari seminggu di pejabat Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia cawangan Perak di bandar ini.

- BERNAMA

Berita Harian X