Rabu, 30 March 2016 | 1:41am

Kanak-kanak 8 tahun maut jatuh dari balkoni pangsapuri

SUNGAI BULOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 20 balkoni kediamannya di sebuah pangsapuri di Kota Damansara di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, kanak-kanak malang terbabit yang tinggal bersama abang dan kakaknya dikatakan menjenguk ke bawah dari balkoni sebelum terjatuh ke kawasan tempat letak kenderaan pangsapuri berkenaan.

Menurut jiran mangsa yang enggan dikenali, ibu bapa kanak-kanak terbabit tiada di rumah ketika kejadian kerana sedang bekerja.

"Saya diberitahu kanak-kanak terbabit ingin melihat sama ada ibu bapanya sudah pulang atau tidak kerana kereta dinaiki pasangan itu sering diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan menghadap kediaman mereka.

"Ketika kejadian, saya dan beberapa jiran lain terdengar bunyi kuat sebelum melihat mayat kanak-kanak terbabit terbaring di atas permukaan tempat letak kenderaan berkenaan," katanya.

Mayat kanak-kanak itu dihantar itu ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Berita Harian X