Isnin, 27 Oktober 2014 | 12:46pm
Menteri Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam ketika melawat sekitar hospital dalam lawatan kerja ke Hospital Shah Alam - Foto Roslin Mat Tahir.

Caj rawatan tinggi guna kad insurans akan ditangani

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan berbincang dengan pihak berkaitan bagi menangani masalah caj perubatan yang tinggi bagi pesakit menggunakan kad insurans di pusat perubatan swasta, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata ia termasuk perbincangan dengan agensi insurans, hospital swasta, organisasi jagaan yang diuruskan dan Bank Negara.

Katanya, caj berlebihan itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan sudah menetapkan had maksimum untuk fi profesional meliputi perundingan dan prosedur bagi pengamal perubatan swasta.

"Kadar ini dimaklumkan dan dipersetujui oleh semua pihak iaitu hospital, pesakit dan syarikat insurans selaras dengan Jadual 13 Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 2006," katanya ketika menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu).

Che Mohamad Zulkifly ingin tahu mengapa caj perubatan di klinik dan hospital swasta yang dikenakan kepada pesakit yang menggunakan kad insurans adalah lebih tinggi berbanding pembayaran secara tunai.

Subramaniam bagaimanapun menjelaskan rakyat harus peka bahawa lain-lain fi seperti penginapan, tatacara kejururawatan, peralatan, ujian makmal dan ubat-ubatan tidak dikawal selia oleh kementerian.

Tambahnya, kuasa pasaran akan menentukan kos sebenar yang dikenakan oleh pengamal perubatan kepada pesakit.

Justeru, beliau menasihatkan pesakit dan ahli keluarga supaya membuat pertimbangan sewajarnya sebelum mendapatkan rawatan di hospital swasta.

"Rakyat perlu sedar tiada jaminan sesuatu kos itu terhad dalam satu lingkungan harga. Sebab itu, ada hospital kerajaan. Buatlah keputusan yang baik," katanya.

Dalam pada itu, Subramaniam berharap kumpulan pengguna kesihatan yang aktif dapat ditubuhkan bagi memberi pandangan khusus serta menjadi pemangkin dalam pengawalan caj berlebihan oleh pihak swasta.

- BERNAMA

Berita Harian X