Selasa, 29 March 2016 | 8:19pm

'Carve Out & Compete' buka ruang kepada syarikat Bumiputera


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) di Putrajaya, hari ini. - Foto Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Pelaksanaan dasar 'Carve Out & Compete' membuka ruang kepada syarikat Bumiputera yang layak bersaing mendapatkan kontrak tertentu dalam projek besar atau ikonik, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri menjelaskan, konsep perintis dasar itu diperkenalkan dalam projek Mass Rapid Transit (MRT) dan kini diguna pakai dalam projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan Bukit Bintang City Centre (BBCC).

"Bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, kita asingkan kepada Tier 1, Tier 2 dan Tier 3.

"Tier 3 dikhususkan untuk kontraktor Kelas F Bumiputera yang mana mereka boleh bersaing bagi mendapatkan kontrak bernilai antara RM5 bilion hingga RM8 bilion.

"Projek BBCC bagi membangunkan tapak Penjara Pudu, di bawah inisiatif UDA Holdings Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) memperuntukkan 50 peratus atau RM1.6 bilion daripada kontrak pembinaan projek berkenaan kepada syarikat Bumiputera.

"Ini menunjukkan dasar 'Carve Out & Compete' memberi kesan besar kepada syarikat Bumiputera tetapi masih perlu bersaing kerana kontrak diberi atas kebolehan mereka," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) di sini, hari ini.

Najib turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian program 'Adopt & Grow' membabitkan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) atas inisiatif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dengan Celcom Axiata Sdn Bhd dan Touch & Go Sdn Bhd.

Majlis sama turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Aiis Solutions Sdn Bhd (Aiis), syarikat milik Muhamad Shahril Shahbudin, dengan AirAsia Berhad (AirAsia) bagi mengkomersialkan khidmat pembersihan enjin pesawat menggunakan ais kering.

Shahril yang juga pemenang SUPERB Siri 1 Tahun 2014, akan bekerjasama dengan AirAsia yang mana prototaip teknologi pembersih enjin pesawat itu akan diguna pakai oleh AirAsia terlebih dahulu sebelum membantu Aiis dari segi sokongan teknikal, kemudahan latihan dan penyelidikan pasaran.

Berita Harian X