Selasa, 29 March 2016 | 7:45pm

Kanak-kanak diculik ditemui selamat

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai mengadakan sidang media mengenai kes budak, Haiqal Haqimi Suhini (gambar kecil) yang dilarikan di Kuching. - Foto Rudi Affendi Khalik

KUCHING: Selepas 24 jam dilaporkan hilang, seorang kanak-kanak lelaki yang dilarikan dua individu tidak dikenali di Jalan Astana, Petra Jaya di sini semalam, ditemui selamat kira-kira jam 3 petang tadi.

Haiqal Haqimi Suhini, 7, dihantar pulang oleh seorang lelaki dengan menaiki motosikal ke rumah keluarganya dalam keadaan sihat dan tidak mengalami kecederaan.

Berikutan perkembangan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK) Sarawak dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menyerbu sebuah rumah di Kampung Siol Kandis, Petra Jaya kira-kira jam 5 petang tadi sebelum menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai, ketika mengesahkan penahanan itu, berkata usaha bertumpu untuk mengesan seorang wanita yang dikenal pasti melarikan kanak-kanak terbabit dari perkarangan rumah datuknya semalam.

"Siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali suspek yang melarikannya. Wanita bertudung yang melarikan kanak-kanak itu seperti dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis perniagaan berhampiran giat diburu.

"Mangsa dilayan dengan baik dan dibawa bermalam di rumah lelaki berkenaan," katanya ketika dihubungi, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari kelmarin, Haiqal Haqimi Suhini, 7, dilaporkan dilarikan dua individu tidak dikenali.

Berita kehilangan kanak-kanak itu tersebar luas di laman sosial selepas keluarganya memohon bantuan mengesan kanak-kanak berkenaan.

Abang Ahmad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan atas kesalahan menculik dan melarikan mana-mana individu atau memisahkannya daripada penjaganya yang sah.

Berita Harian X