Selasa, 29 March 2016 | 2:35pm

Dagangan sulung Bison catat diskaun 1 sen

KUALA LUMPUR: Peruncit kedai serbaneka, Bison Consolidated Bhd, mula disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia hari ini pada diskaun satu sen pada RM1.09 dengan 2.2 juta saham diniagakan.

Pengarah Urusan Dang Tai Luk berkata, meskipun dibuka dengan diskaun, saham syarikat kemudiannya naik kepada RM1.11.

"Saya percaya pelabur yakin dengan rekod prestasi syarikat dan asas yang kukuh.

"Setelah kejayaan penyenaraian hari ini, kami memperuntukkan RM50 juta daripada hasil tawaran awam awal kami untuk perbelanjaan modal manakala kira-kira RM35.55 juta akan digunakan untuk memperluaskan cawangan rangkaian kami," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyenaraian di sini hari ini.

Beliau berkata, baki RM14.45 juta akan digunakan untuk menambah baik teknologi maklumat dan logistik syarikat di seluruh negara bagi menyokong pertumbuhan.

"Kami akan membuka secara purata 70 cawangan baharu setahun bagi mencapai sasaran 115 menjelang 31 Oktober 2017," katanya.

Dang berkata, syarikat juga memperuntukkan RM32.23 juta bagi modal kerja yang akan digunakan untuk membiayai stok inventori bagi cawangan sedia ada dan baharu serta perbelanjaan lain.

Mengenai lokasi cawangan, beliau berkata fokus semasa syarikat ialah kawasan dengan perniagaan dan penduduk yang padat.

Beliau berkata, seiring dengan rancangan pengembangan yang meluas, tumpuan juga akan diberikan kepada jalan utama, berbanding bangunan komersial seperti pusat membeli-belah, sebagaimana sebelumnya.

Syarikat mempunyai cawangan di seluruh Malaysia, kecuali Kelantan, Terengganu dan Perlis, yang bakal dimasukkan di bawah fasa pengembangan.

Mengenai masa depan, Dang berkata pasaran kedai serbaneka runcit masih mempunyai ruang untuk berkembang memandangkan ia adalah subsegmen pasaran barang runcit pantas berkembang di Malaysia, dengan kadar penembusan kekal rendah berbanding negara jiran.

Beliau yakin dengan 19 tahun pengalaman dalam perniagaan, Bison pada kedudukan yang baik dan mampu merebut peluang dalam pasaran.

Kedai serbaneka Bison beroperasi di bawah jenama myNEWS.com, Newsplus, MagBit, The Front Page dan WH Smith. - BERNAMA

Berita Harian X