Isnin, 27 Oktober 2014 | 7:00am

Perbezaan ideologi pakatan tunggu 'meletup'

PERTEMBUNGAN ideologi antara PAS dan PKR-DAP sekali lagi menjadi tontonan umum dengan penganjuran Program 'I Want To Touch A Dog ' di Petaling Jaya, minggu lalu. Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali menggesa pemimpin politik yang memuji dan menggalakkan penganjuran aktiviti yang bertujuan 'meliberalkan hukum hakam Islam' seperti Naib Presiden PKR, Nurul Izzah, agar segera bertaubat.

Ini bukan kali pertama Nurul mengeluarkan kenyataan terbuka yang meletakkan PAS dalam dilema. Beliau dilaporkan pernah menyatakan pendirian bahawa orang Islam harus dibolehkan untuk memilih agama sendiri dalam satu pertemuan dengan hadirin bukan Islam. Kes beliau dengan sebuah akhbar yang melaporkan masih dalam perbicaraan mahkamah.

Daripada tontonan TV dan Youtube, sekumpulan orang Islam termasuk wanita bertudung, menyentuh, menggosok dan memeluk anjing. Penganjurnya pula kelihatan seperti kategori LGBT, yakni kumpulan yang pernah berdemonstrasi untuk menganjurkan Merdeka Seks tidak lama dulu. Mereka disokong pemimpin PKR-DAP dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) liberal lain. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat menganggap mereka sebagai orang 'tidak ada otak' dan mencadangkan mereka buat aktiviti 'Saya Mahu Sentuh Babi' atau 'Saya Mahu Sentuh Ular Tedung' pula selepas ini.

Presiden PAS menzahirkan kemarahan dan kekesalan beliau terhadap PKR dan DAP dalam Muktamar PAS bulan lalu. Kata Datuk Seri Hadi Awang, PAS yang berlandaskan Islam pasti berbeza dengan parti liberal sekular dan liberal sosialis. Justeru, banyak tindakan dan pendirian PKR-DAP yang tidak boleh diterima PAS kerana bercanggah dengan Islam atau melanggar prinsip PAS sebagai rakan sekutu dalam pakatan pembangkang. Beliau memberi amaran agar PKR-DAP menghormati PAS dan tidak berlaku khianat jika tahaluf siyasi antara mereka mahu dikekalkan.

Sikap membisu PAS

Hakikatnya, PAS juga bertanggungjawab ke atas sikap dan tindakan pemimpin parti sekutunya yang liberal. Banyak kali apabila pemimpin PKR atau DAP mengeluarkan kenyataan atau bertindak songsang sebelum ini, ada pemimpin PAS yang mempertahan dan cuba merasionalkan, siap dengan ayat al-Quran lagi walaupun membangkitkan kemarahan umat Islam negara ini. Menghina Allah dan Rasulullah, membantah suara azan, pemimpin wanita DAP masuk masjid tanpa memakai tudung, pemimpin lelaki DAP membaca ayat al-Quran dalam ceramah, penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, menghina Yang di-Pertuan Agong dan institusi Raja-Raja Melayu, menghina anggota keselamatan dan kakitangan kerajaan, menggalakkan penjualan arak dan membuka premis rumah urut di kawasan majoriti Islam - semuanya tidak ditegur oleh PAS kononnya ingin menunjukkan bahawa ia juga parti yang boleh terima keterbukaan, sejajar dengan slogannya 'PAS For All'.

Di Pulau Pinang, kain rentang sambutan Aidiladha ada lambang menyerupai salib di atas gambar Kaabah juga tidak ditegur oleh PAS. Di Sarawak, DAP sudah putus hubungan dengan PAS dan tidak mahu kena mengena lagi dengan parti itu selagi PAS mahu meneruskan rancangannya melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Dalam kes hudud - yakni raison d'etre PAS - pemimpin parti itu masih bersikap 'hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong' dengan DAP walaupun parti liberal cauvinis Cina itu tegas akan menentang habis-habisan jika PAS membentang rang undang-undang hudud di Parlimen.

Kata pemimpin PAS, adalah menjadi hak DAP untuk tidak bersetuju, justeru tidak ada ada-apa. Sebagai pemanis, mereka kata bukan Islam tidak dikenakan hukuman hudud. Padahal, pemimpin DAP berkali-kali memberi amaran bahawa pakatan pembangkang akan berpecah dan PAS akan dipinggirkan PKR-DAP jika PAS meneruskan hasratnya melaksanakan hudud di Kelantan.

Bakal berlaku bom dalaman

Berapa lama lagikah PAS mahu berlakon seolah-olah keadaan akan bertambah baik atau boleh diperbaiki dengan PKR-DAP? Kajian menunjukkan bahawa krisis kepemimpinan Selangor yang berpunca daripada PKR memberi kesan buruk kepada PAS. Keputusan Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubor adalah buktinya.

Muktamar PAS yang sepatutnya menjadi medan introspeksi dan mencarta strategi menawan kubu UMNO, yakni Johor, bertukar menjadi medan bertelagah antara puak ulama dan puak pro-Anwar dalam PAS sehingga tidak terkawal. Kata orang 'biar pecah di perut, jangan pecah di mulut' tapi pada muktamar itu, sudahlah perut pecah terburai, mulut pun habis bersepai!

Beberapa bulan ke hadapan, kita akan menyaksikan lagi siri pertembungan ideologi serta perbezaan pendirian antara PAS dengan PKR dan DAP. Yang menarik perhatian ramai dan penganalisis ialah sama ada PAS mampu mempertahankan tahaluf siyasinya dengan PKR-DAP atau akan berlaku 'internal implosion' (bom dalaman) ekoran pergeseran puak yang paling serius sejak penubuhan parti itu lebih lima dekad lalu.

22 dibaca
Berita Harian X