Isnin, 27 Oktober 2014 | 6:34am

'SPAD sepatut tetapkan kadar tambang fleksibel'

Awal bulan ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan berkuat kuasa Januari depan, pengendali bas sekolah tidak lagi terikat dengan kadar tambang ditetapkan, sebaliknya dibenarkan mengenakan caj fleksibel berdasarkan rundingan antara pengusaha bas, pihak sekolah dan ibu bapa. Banyak menyatakan tindakan berkenaan boleh mengundang pelbagai masalah yang bakal membebankan ibu bapa dan pengendali bas sekolah. Wartawan BH AHAD, ROHANIZA IDRIS mendapatkan pandangan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM), Amali Munif Rahmat dan Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hassan mengenai isu itu.


Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM), Amali Munif Rahmat (kiri) dan Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hassan

Wartawan: Bagaimana saudara melihat keputusan terbaharu SPAD yang membenarkan kadar tambang fleksibel dilaksanakan yang mana pengusaha bas sekolah perlu berunding dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk tentukan harga tambang bas sekolah mengikut pasaran semasa?

Amali Munif: Saya gembira dengan penetapan kadar tambang bas sekolah yang lebih fleksibel, namun saya tidak nampak sejauh mana rundingan pengusaha bas dengan PIBG boleh dilaksanakan dalam menentukan harga tambang. Apa yang jelas keputusan terbaharu SPAD sangat berbeza dengan perbincangan yang dilakukan badan berkenaan dengan PPPBSM pada 29 Januari lalu. Kita sudah dimaklumkan mengenai kadar tambang fleksibel, tetapi cukup terkejut apabila tiada kadar harga lantai dan harga siling ditetapkan SPAD.

Dalam mesyuarat pada 29 Januari itu, kita diberitahu kadar tambang bas sekolah diapungkan sehingga harga tambang baharu diumumkan. Pada awalnya, dicadangkan pengumuman harga tambang bas baharu selepas cuti Tahun Baharu Cina, namun ia ditunda bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil. Selepas beberapa siri pilihan raya kecil sehingga 3 Oktober lalu, baharu SPAD buat pengumuman tetapi bukannya memberitahu kadar tambang bas, sebaliknya memberikan tanggungjawab menetapkan harga tambang bas kepada pengusaha bas dan PIBG.

S: Apa lagi yang dibincangkan dalam pertemuan dengan SPAD pada Januari lalu?

J: Dalam pertemuan itu, kita mencadangkan kepada kerajaan, supaya tambang bas sekolah dinaikkan antara 30 hingga 40 peratus. Malangnya, sehingga hari ini tiada kenaikan harga tambang diumumkan walaupun subsidi untuk harga minyak sudah dikurangkan. Dalam perbincangan itu turut dibincangkan beberapa insentif seperti ruang iklan diberikan kepada badan bas sekolah yang dijangka dapat menjana pendapatan RM1,000 sebulan dan bas sekolah dibenarkan berkhidmat sebagai bas pengantara. Namun, selepas pengumuman terbaharu ini, semua insentif itu nampaknya tiada. SPAD umumkan kadar tambang hanya ditentukan pengusaha bas dan PIBG saja. Persoalannya SPAD tidak mewartakan harga baharu tetapi mengumumkan harga yang ditetapkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) tidak boleh diguna pakai lagi. Kami keliru kerana jika kami menaikkan harga, SPAD kata akan kenakan tindakan, namun kita hanya mahu tahu harga lantai dan siling supaya pengusaha tidak menaikkan harga yang membebankan pengguna. Tiada harga lantai, bagaimana kami hendak bermula? Mesti ada harga asas, jika gunakan kadar 2009 memang tidak relevan, kerana harga minyak sudah berbeza. Kami sekarang ini terpinga-pinga kerana SPAD tidak mewartakan harga tambang.

S: Adakah PPPBSM bermasalah untuk bekerjasama dengan PIBG?

J: Kami sebenarnya tiada masalah dan sehingga kini memang sudah ada kerjasama antara ibu bapa dan guru dengan pemandu bas. Namun, adakah SPAD tahu bahawa PIBG adalah pertubuhan yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), sebaliknya berdaftar dengan Kementerian Pendidikan saja.

Jika kadar tambang fleksibel ini mahu dilaksanakan bermakna kami kena berbincang dengan 15,000 PIBG kerana jumlah sekolah harian kira-kira 10,000, manakala sekolah rendah agama kira-kira 5,000. Adakah SPAD sudah mengkaji bagaimana kami boleh membuat perundingan itu? Untuk mendapatkan konsensus 15,000 PIBG bukannya mudah, malah saya merasakan mustahil untuk dilaksanakan. Dalam Akta SPAD sudah jelas menyatakan SPAD yang perlu menetapkan kadar tambang, jadi mengapa tugas itu diserahkan kepada kami persatuan bas dan PIBG?

S: Adakah PPPBSM mempunyai masalah untuk berunding dengan SPAD sebelum pelaksanaan struktur tambang baharu ini?

J: Saya nampak dalam isu ini SPAD tidak mahu dipersalahkan atas kenaikan tambang. Kalau ada aduan daripada pengguna mengenai harga tambang bas sekolah, mereka akan kata harga ditetapkan ibu bapa dan pengusaha bas dan SPAD tidak bertanggungjawab. Jelas di sini SPAD mahu lepas tangan. Apabila pengguna bising nanti mereka akan kata harga sudah dirunding PIBG dan pengusaha bas. Bukannya mudah mahu berunding dengan 15,000 PIBG, dengan SPAD pun banyak yang tidak selesai.

S: Apa lagi masalah PPPBSM dengan SPAD?

J: SPAD tidak mendengar suara, pendapat dan fakta yang kami berikan. Awal penubuhan SPAD lagi sudah nampak kepincangan yang mana semua 18,000 bas terpaksa didaftarkan semula dengan SPAD. Mengapa ini terjadi...sepatutnya selepas LPKP dibubarkan dan diganti SPAD secara automatik kami terus didaftarkan. Ini tidak, kami terpaksa mendaftar semula dan saya diberitahu statistik SPAD hanya ada 17,000 bas, sedangkan berdaftar dengan kami 18,000 bas. Kami pelik mengapa ini terjadi, sepatutnya bila ada pendaftaran semula, ada pertambahan bukan pengurangan. Bermakna kemungkinan 1,000 lagi bas sekolah beroperasi secara haram atau mereka ini malas mendaftar atau sudah berundur daripada industri.

S: Adakah PPPBSM dipanggil untuk diberitahu mengenai pelaksanaan harga tambang fleksibel?

J: Sehingga ke hari ini tidak pernah dipanggil. SPAD jangan lepas tangan. Saya melihat ibu bapa belum bersedia untuk pasaran menentukan harga tambang. SPAD tidak pernah memanggil perbincangan meja bulat antara pengusaha bas dengan SPAD, apa lagi dengan PIBG. Saya hendak tanya kepada SPAD, kenapa bas sekolah selalu dijadikan bahan uji kaji?

S: Adakah PPPBSM akan berjumpa dengan SPAD?

J: Buat masa terdekat ini, kami tidak akan berjumpa kerana kami perlu berbincang pada peringkat persatuan buat kajian sebelum pergi bertemu SPAD. Buat masa ini kami keliru.

S: Adakah PPBSM hanya mempertahankan isu berkaitan kadar tambang saja, bagaimana isu lain seperti mutu dan kualiti perkhidmatan?

J: Memang isu bas sekolah bukan sekadar isu kadar tambang saja. Ini bukan setakat isu tambang... ia tidak jadi apa-apa, kita perlukan lebih daripada itu. Kenapa? Ini kerana bas sekolah yang sedia ada semuanya sudah berusia. Kira-kira 70 peratus daripada bas sedia ada berusia lebih 20 tahun. Jika kerajaan sanggup berbelanja lebih untuk bas Rapid, dan bas GO KL diperuntukkan RM20 juta untuk pelancong asing, mengapa tidak kepada bas sekolah kerana kami ini membawa anak-anak generasi Malaysia yang bakal jadi pemimpin. Apa yang kami mahukan hanyalah dana pinjaman penuh tanpa faedah untuk mengganti bas baharu.

S: Bagaimana mekanisme penentuan atau garis panduan untuk melaksanakan kadar tambang baharu ini?

J: Saya diberitahu, mereka (SPAD) juga tiada mekanisme atau garis panduan. Pegawai SPAD juga keliru bagaimana kadar tambang ditentukan pengusaha bas dan PIBG ini apabila saya menghubungi mereka semula. Hakikat sebenar industri bas sekolah ini tidak difahami mereka.

S: Boleh saudara terangkan kadar kemalangan membabitkan bas sekolah?

J: Kadar kemalangan membabitkan bas sekolah hanya dua peratus saja setiap tahun dan purata kematian hanya satu saja setahun. Bermakna risiko kemalangan membabitkan bas sekolah rendah. Pada masa ini, kami sering diganggu dengan bas sekolah sapu. Setiap satu bas yang berdaftar ada tiga bas sekolah tidak berdaftar. Ini memang berlaku di seluruh negara. Sepatutnya SPAD lihat isu ini juga dan perkara ini sudah 15 tahun kita bangkitkan tetapi masih tidak selesai sehingga hari ini. Saya rasa tambang fleksibel masih tidak dapat selesai isu bas sekolah sapu ini. SPAD juga meluluskan permit sementara kepada mana-mana orang persendirian untuk membawa bas sekolah berakhir hujung tahun ini.

Permit sementara ini diberikan kepada individu yang memohon walaupun mereka tiada lesen kenderaan perdagangan (PSV), cukai jalan dan kenderaan tiada insurans. Ini perlu dilihat kembali kerana ia membabitkan keselamatan pelajar. Tugas pemandu bas sekolah bukan sekadar menjadi pemandu saja tetapi kami juga pengasuh dan pengawal anak-anak ini. Mengapa saya kata pengasuh, kerana kita akan menjaga anak-anak ini sepanjang mereka dalam bas sekolah dan mengawal pergerakan mereka, sama ada naik atau turun atau tidak bas.

Pelanggan mahu penetapan harga munasabah, berbaloi

Wartawan: Apakah pendirian PIBGN mengenai penetapan harga tambang berdasarkan persetujuan bersama PIBG dengan pengendali bas sekolah?

Mohamad Ali Hassan: PIBGN menyambut baik tambang fleksibel dan memberikan kebebasan kepada pengusaha bas dan PIBG menentukan harga tambang bas sekolah. Namun, bukanlah kebebasan mutlak kepada kedua-dua pihak. Jika wujud keadaan ini, maka ia satu bebanan baharu kepada ibu bapa, kurang adil dan lebih berpihak kepada pengusaha bas sekolah. Sepatutnya bebanan ditanggung kedua-dua belah pihak dan tidak menguntungkan satu pihak saja. SPAD sepatutnya berperanan sebagai fasilitator iaitu menemui kedua-dua pihak dan menjadi orang tengah serta berlaku adil menjaga kepentingan kedua-dua belah pihak, pengusaha bas sekolah dan ibu bapa. Perkhidmatan bas sekolah perlu dilihat seperti barang keperluan lain, bermakna perlu dikawal harganya dan bukan pasaran menentukannya.

S: Adakah PIBGN dipanggil SPAD untuk membincangkan isu tambang bas sekolah?

J: Memang ada pegawai yang bertemu dengan PIBGN berhubung penetapan harga tambang ini tetapi ia lebih kepada perbincangan sehala. Mereka mendapatkan maklumat tetapi bukannya perbincangan meja bulat yang disertai PIBGN dengan pengusaha bas dan SPAD. Sepatutnya perlu diadakan perjumpaan meja bulat yang mana ketiga-tiga pihak duduk berbincang bersama mengenai isu ini. Perbincangan sehala tidak mencukupi dan keputusannya hanya memihak kepada satu pihak saja.

S: Ada pihak menyatakan penetapan tambang oleh PIBG dan pengusaha bas sekolah tidak relevan dan bakal menyusahkan ibu bapa pelajar kerana kadar tambang berdasarkan harga pasaran. Apa pandangan PIBGN mengenai perkara ini?

J: Penetapan tambang hasil rundingan pengusaha bas dan PIBG dibiarkan berunding secara bebas sebenarnya akan berpihak kepada satu pihak saja dan tidak menguntungkan kedua-dua pihak. Saya pasti ia akan menguntungkan pengusaha bas yang akan mengemukakan asas kenaikan tambang berdasarkan faktor kenaikan harga minyak, alat ganti dan kos penyelenggaraan manakala ibu bapa terpaksa akur kerana tiada maklumat mengenai perkara berkenaan. Secara tidak sedar, ibu bapa menerima harga baharu dalam keadaan terpaksa atau ditekan untuk menerima harga berkenaan. Sepatutnya, SPAD tentukan garis panduan dan bukannya memberikan tanggungjawab penentuan harga kepada pengusaha bas dan PIBG secara mutlak. Sepatutnya SPAD kena jadi orang tengah.

S: Ada yang mencadangkan supaya tambang bas sekolah diberikan percuma yang mana kerajaan memberikan subsidi dengan membayar terus kos tambang kepada pengusaha bas sekolah. Apa komen Prof?

J: Ini agak mustahil dilaksanakan dan saya merasa tidak munasabah kerajaan memberikan subsidi tambang bas sekolah. Lebih baik difikirkan insentif lain dengan meminta kerajaan memberi pinjaman mudah untuk penggantian atau pembelian bas sekolah. Mungkin pengusaha bas boleh meminta subsidi untuk dua atau tiga perkara lain seperti subsidi minyak, barang alat ganti dan kos penyelenggaraan.

S: Tidakkah penentuan harga tambang bas mengikut rundingan PIBG dan pengusaha bas sekolah bakal menaikkan harga tambang?

J: Sudah tentu harga tambang akan naik. Malah, PPPBSM sudah menyatakan mereka mahukan kenaikan antara 30 hingga 40 peratus dan dengan mengambil kira harga minyak naik 20 sen, mereka mahukan kenaikan hingga 80 peratus.

S: Bolehkan harga tambang bas yang baharu dilaksanakan Januari ini memandangkan PPBSM dan PIBGN masih keliru dengan mekanisme baharu yang dilaksanakan SPAD ini?

J: Saya berharap SPAD semak dan kaji semula kuasa pengusaha bas dan PIBG menentukan harga tambang. Buat pertemuan dengan semua pihak berkaitan supaya wujud perundingan yang harmoni. Kita mahukan penetapan harga yang munasabah, adil dan memberi kemenangan kepada semua pihak.

S: Adakah PIBGN mempunyai cadangan lain dalam menyelesaikan isu tambang bas sekolah?

J: Selain bergantung kepada pengusaha bas sekolah, isu tambang dan perkhidmatan bas ini boleh diselesaikan jika sekolah diberikan kuasa menguruskannya sendiri melalui PIBG, alumni atau koperasi sekolah. Selain itu, perkenalkan konduktor atau pembantu pemandu bas, pemandu kedua supaya perkhidmatan dapat ditingkatkan dan aspek keselamatan dan keselesaan diutamakan.

Selain itu, kita mahu semua bas sekolah melekatkan laluan perjalanannya dalam bas supaya tidak wujud penyelewengan atau pemandu sambil lewa dan mengambil kesempatan. Bas sekolah juga perlu dikelaskan mengikut kategori dan gred seperti A, B, C untuk penentuan kualiti perkhidmatan selain penilaian berdasarkan usia, fizikal dan keselesaan ruang bas. Kita juga mahu diwujudkan memorandum persefahaman antara pengusaha bas dengan PIBG yang diperbaharui setiap tiga tahun sekali.

23 dibaca
Berita Harian X