Isnin, 28 March 2016 | 6:03pm

Tiga beranak dikebumi dalam satu liang


TIGA beranak yang maut dalam kemalangan petang semalam dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Rancangan Tanah Felda Perasu, Gua Musang, petang tadi.

GUA MUSANG: Tiga beranak yang maut dalam kemalangan petang semalam dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Rancangan Tanah Felda Perasu, di sini, petang tadi.

Seramai 100 orang terdiri daripada keluarga dan kenalan mangsa hadir pada majlis pengebumian kira-kira jam 2 petang itu.

Yang turut hadir, Pengurus Besar FELDA Wilayah Gua Musang, Mohamad Anuar Ridi Mohamad dan Pengerusi Majlis Belia Felda Kelantan, Mohd Nor Fadzly Mohd Daud.

Dalam kemalangan di Kilometer 48, Jalan Gua Musang-Kuala Krai itu, Faizah Mohd Nor, 28 bersama anak lelaki sulungnya, Muhd Firas Ziyad Mohamad Zahiruddin berusia enam bulan, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di di kepala.

Pemandu kereta yang juga suami Faizah, Mohamad Zahiruddin Hadi, 24, meninggal dunia di Hospital Gua Musang (HGM) jam 8.30 pagi tadi.

Bapa Faizah, Mohd Nor Mohamad, 57, berkata semua ahli keluarganya reda dengan pemergian anak perempuannya bersama seorang cucu dan menantu.

"Saya masih lemah dan sedih menerima berita yang menimpa keluarga kami. Ketika kejadian, kami masih berada di Kampung Pulai Chondong kerana kenduri perkahwinan anak lelaki.

"Segalanya berlaku secara tiba-tiba dan kami reda kerana menganggap apa yang berlaku adalah takdir Allah," katanya ketika ditemui di sini.

17 dibaca
Berita Harian X