Isnin, 27 Oktober 2014 | 2:35am

Van Persie selamatkan United, Drogba masih berbisa

PENYERANG Manchester United, Robin van Persie (kanan) merembat lalu membolosi gawang Chelsea dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, di Old Trafford awal pagi tadi. - Foto AP

MANCHESTER: Robin van Persie menyelamatkan maruah Manchester United daripada mencipta aib di laman sendiri apabila jaringannya ketika perlawanan memasuki masa kecederaan babak kedua memaksa Chelsea pulang dengan satu mata selepas seri 1-1 di Old Trafford, sebentar tadi.

Ketika Chelsea di ambang kemenangan, jaringan penyerang berbisa Belanda itu ketika ramai peminat United bersedia untuk angkat kaki cukup berharga dengan memadam kelebihan pelawat yang meledak lebih awal menerusi penyerang veteran, Didier Drogba.

Drogba yang dianggap tidak cergas sepenuhnya oleh jurulatih, Jose Mourinho meletakkan Chelsea di depan pada minit ke-55 selepas perlawanan pada babak pertama berakhir tanpa jaringan.

Dan kad merah yang diterima pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic, seminit sebelum perlawanan masa tambahan babak kedua berakhir jelas terlalu berharga buat United.

Ketika masa permainan di skrin televisyen sudah pun melangkaui empat minit masa tambahan, gerakan yang dimulakan pemain tengah, Angel Di Maria dari kiri padang pantas ditanduk Fellaini ke gawang namun berjaya ditampan Thibaut Courtois. 

Begitupun, bola yang ditampan penjaga gol muda Chelsea itu kemudian jatuh tepat di depan Van Persie yang kemudian tidak mensia-siakannya peluang terhidang untuk meledak gol.

Gol Chelsea pula terhasil menerusi satu sepakan sudut dengan Drogba bijak menggunakan peluang terhidang mengatasi pertahanan, Rafael sebelum melepaskan tandukan padu menewaskan penjaga gol United, David De Gea.

Tampil dengan misi tersendiri, kedua-dua pasukan begitupun kehilangan sengat di jentera serangan apabila penyerang utama masing-masing, tidak dapat diturunkan akibat kecederaan mahupun penggantungan.

United kehilangan kapten, Wayne Rooney akibat penggantungan manakala Chelsea lebih parah apabila dua penyerangnya termasuk peledak terbanyak, Diego Costa selain Loic Remy berdepan kecederaan.

Keputusan seri begitupun tidak menggugat kedudukan Chelsea di puncak liga dengan rekod tanpa sebarang kekalahan daripada sembilan musim ini ketika juara tahun lalu, Manchester City tumbang mengejut di tangan West Ham, semalam.

Begitupun, tidak pasti sama ada hubungan Mourinho dengan mentornya, Van Gaal kekal baik selepas penalti yang sepatutnya diperoleh Chelsea pada babak pertama tidak diberikan oleh pengadil.

Berita Harian X