Isnin, 28 March 2016 | 1:18pm

BBCC meterai HTA & MoU dengan Mitsui, Zepp, Ascott

KUALA LUMPUR: BBCC Development Sdn Bhd (BBCCD), memeterai Perjanjian Terma Utama (HTA) bersama Mitsui Fudosan (Asia) Pte Ltd dan Zepp Hall Network Inc termasuk Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan The Ascott Limited yang berlangsung di sini hari ini.

‎Perjanjian yang ditandatangani bersama jenama terkemuka dunia itu bakal menjadikan pembangunan Bukit Bintang City Centre (BBCC) komponen peruncitan, hiburan dan hospitaliti terbaik di infrastruktur ikonik terbaharu di ibu negara itu.

Menerusi HTA, BBCC Development bersama Mitsui Fudosan Asia akan menjalinkan kerjasama intensif bagi tempoh 12 bulan dalam mereka dan pembangunan konsep bagi pusat beli-belah gaya hidup berkeluasan 1.4 juta kaki persegi di tengah-tengah BBCC.

Dengan anggaran kos pembangunan kasar (GDC) RM1.6 bilion, pusat beli-belah itu akan diubah menjadi landskap runcit di Kuala Lumpur bagi memenuhi keperluan beli-belah dengan memperkenalkan jenama tempatan popular dan jenama antarabangsa kepada pasaran baharu.

Perjanjian membabitkan pelaburan berskala besar dalam rangkaian peruncitan itu adalah yang terbesar bagi Mitsui Fudosan Asia di luar Jepun.

Bagi HTA bersama Zepp Hall iaitu anak syarikat Sony Music Entertainment (Jepun) Inc pula, BBCC akan memiliki dewan konsert yang mampu memuatkan lebih 2,000 penonton.

Menerusi MoU dengan Ascott iaitu jenama terkemuka dunia dalam pengurusan kediaman servis itu yang menguruskan lebih 45,000 unit dalam 290 hartanah di 100 bandar di dunia juga akan beroperasi di BBCC.

‎Antara yang menyertai majlis memeterai HTA dan MoU yang berlangsung hari ini ialah Pengerusi Eco World Development Group Bhd (EcoWorld), Tan Sri Liew Kee Sin;  Pengerusi UDA Holdings Bhd, Datuk Dr Mohd Shafei Abdullah; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Mohd Nasir Ab Latif; dan Datuk Bandar Kuala Lumpr, Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abdul Aziz.

Ia turut disertai Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Mayigawa; Pengarah Mitsui Fudosan Asia, Akihiko Funaoka; Ketua Pegawai Eksekutif The Ascott Limited, Lee Chee Koon; dan Pengarah Zepp Singapore Pte Ltd, Mahito Sakai serta disaksikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

‎Projek BBCC dimiliki bersama konsortium BBCCD membabitkan EcoWorld dan UDA Holdings yang masing-masing memegang 40 peratus kepentingan, serta KWSP menguasai baki 20 peratus.

Fasa pertama projek berkenaan dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM4 bilion akan merangkumi pembinaan satu blok dengan ketinggian 45 tingkat untuk pejabat strata membabitkan 350 suite strata; dua blok apartmen servis membabitkan 450 unit kediaman; pusat beli-belah; dan hotel empat bintang dengan 300 bilik; serta 180 unit kediaman berjenama.

BBCCD menjangkakan jualan lot pertama projek pembangunan bercampur dengan anggaran GDV keseluruhan RM8.7 bilion di bekas tapak Penjara Pudu, Kuala Lumpur bermula Jun depan secara berperingkat.


LAKARAN artis Bukit Bintang City Centre.

19 dibaca
Berita Harian X