Isnin, 28 March 2016 | 11:07am

Tiga beranak maut kereta bertembung lori


KENDERAAN Viva dinaiki mangsa bertembung dengan treler sarat muatan balak di KM48 Jalan Gua Musang-Kuala Krai. - Foto Ramli Ibrahim

GUA MUSANG: Tiga beranak termasuk seorang bayi lelaki berusia enam bulan maut, selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan lori muatan balak di Kilometer 48, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, Mohamad Zahiruddin Hadi, 24; isterinya, Faizah Mohd Nor, 28; serta anak mereka, Muhd Firas Ziyad maut akibat kecederaan parah.

Faizah dan Muhd Firas Ziyad meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Mohamad Zahiruddin meninggal dunia di Hospital Gua Musang, jam 8 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah, berkata ketika kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang.

Katanya, setiba di tempat kejadian, pemandu dikatakan gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas ke kiri bahu jalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


ORANG ramai membantu mengeluarkan mangsa tersepit dalam kenderaan. - Foto Ramli Ibrahim

Berita Harian X