Isnin, 28 March 2016 | 9:00am

Filem Ola Bola, tauke dan fakta sejarah

SETELAH menonton filem Ola Bola, penulis ditanya oleh beberapa anak muda yang juga rakan sekerja - apakah benar pemain bola sepak era 1980-an mengadakan latihan ala tentera dan berlatih waktu malam?

Satu lagi soalan ialah betulkah barisan pemain bergaduh dalam bilik persalinan pada waktu rehat separuh masa pertama ketika Malaysia menentang Korea Selatan, yang akhirnya kita menang, sekali gus layak ke Olimpik di Moscow pada 1980?

Penulis masuk panggung kerana ramai memuji filem arahan Chiu Keng Guan itu hingga mencatat kutipan RM12 juta selepas 18 hari ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Ternyata filem itu memang hebat tetapi ada yang kecewa dan mempertikaikan beberapa adegan yang diubah suai daripada fakta sejarah sebenar.

Penulis sendiri menghubungi legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun yang digambarkan dalam filem itu sebagai 'tauke' untuk menjawab pertanyaan anak muda tadi.

"Ya betul, dulu kami memang ada latihan ala tentera dua tiga minggu sebelum sesuatu kejohanan diadakan, tetapi berlatih waktu malam tidak ada," kata bekas pemain pertahanan terhebat itu. Pelakon utama, J C Chee memegang watak Chow Kwok Keong atau tauke.

Malah, Chin Aun juga menafikan yang mereka pernah berdepan konflik di bilik persalinan Stadium Merdeka ketika waktu rehat menentang Korea Selatan. Babak dalam filem itu antara lain menggambarkan beberapa pemain cuba menghasut rakan lain supaya jangan bermain mati-matian kerana pihak kerajaan sudah memutuskan Malaysia tidak akan menyertai Olimpik kerana isu politik ketika itu.

Namun, menurut 'tauke', ia tidak benar sama-sekali dan keputusan untuk tidak menghantar pasukan Malaysia ke Moscow hanya dibuat kerajaan selepas mereka layak ke Olimpik, bukan sebelum atau semasa perlawanan penentuan di Stadium Merdeka. Namun, pada awal filem itu lagi memang dinyatakan bahawa pembikinannya berdasarkan kepada inspirasi, bukan sejarah.

Begitu pun, ada yang bertegas peristiwa negara, andai dibuat filem sekalipun, perlu berpaksikan kepada sejarah yang betul. Jika tidak, apa yang digambarkan sebagai 'sejarah' dalam filem itu boleh menyebabkan generasi muda terpengaruh kerana fakta tidak tepat.

Baru-baru ini, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali melahirkan rasa kecewa kerana fakta sebenar diubah.

"Watak Ali (dalam filem) adalah saya dan dalam filem itu saya menjaringkan gol kemenangan, walhal bukan saya, tetapi James Wong (dari Sabah) serta kita menang dengan 2-1 bukannya lain daripada itu.

Mereka mesti menghormati sejarah," katanya. Diakui, ramai sudah hilang minat terhadap bola sepak apabila tiada lagi nama seperti Mokhtar Dahari, Chin Aun, Santokh Singh, Arumugam, James Wong, Hassan Sani dan Isa Bakar.

Mereka inilah barisan yang membawa bola sepak ke tahap paling tinggi hingga Malaysia layak ke Olimpik di Moscow pada 1980. Kita perlu lebih banyak filem seperti ini yang berjaya menyemai rasa cinta terhadap negara dan memberi sumber inspirasi, tetapi diselitkan dengan unsur lawak jenaka yang tidak membosankan.

Berita Harian X