Ahad, 27 March 2016 | 10:36pm

Pemuda maut jatuh sungai selepas diserang sawan


ANGGOTA bomba mengangkat mayat lelaki yang ditemui selepas terjatuh ke sungai akibat diserang sawan ketika memancing di Jalan Sungai Korok, Jitra, petang tadi. - Foto ihsan bomba

ALOR SETAR: Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke sungai akibat diserang sawan ketika memancing di Jalan Sungai Korok, dekat Jitra, di sini, petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Firdaus Bakar, 27, disahkan maut selepas mayatnya ditemui anggota penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, jam 9.32 malam ini.

Terdahulu, mangsa dikatakan memancing di sungai terbabit kira-kira jam 8.30 malam, sebelum diserang sawan dan terjatuh ke sungai.

Jurucakap JBPM Kedah, ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 8.33 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Sungai Petani, dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik sampai, tindakan mencari dilakukan secara permukaan dan selaman, sebelum mayat mangsa ditemui jam 9.32 malam.

"Mayat diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Jitra untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita Harian X