Ahad, 27 March 2016 | 5:43pm

Pusat pelupusan sampah, lima hutan dan belukar terbakar

KEBAKARAN di pusat pelupusan sampah Bukit Palong di Lukut, Port Dickson, pagi tadi. - Foto ihsan pembaca

SEREMBAN: Cuaca panas menyebabkan enam kawasan di daerah ini dan Port Dickson terbakar, termasuk pusat pelupusan sampah Bukit Palong di Lukut, Port Dickson, sejak kira-kira jam 8 pagi tadi.

Bagaimanapun, kebakaran di kawasan seluas kira-kira 0.8 hektar di Bukit Palong, kini dapat dikawal hasil usaha bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama SWM Environment Sdn Bhd, yang menyelia kawasan itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis, berkata kawasan lain yang terbakar ialah hutan seluas kira-kira 0.8 hektar bersebelahan Lebuh Raya Seremban-Port Dickson serta kawasan hutan seluas dua hektar di Tanjung Tuan, Port Dickson.

Katanya, kawasan hutan seluas 1.2 hektar di Kilometer 279 Lebuh Raya Utara-Selatan, kawasan belukar seluas 1.2 hektar berdekatan Taman Jasmin di sini, dan kawasan hutan seluas 0.4 hektar dekat Taman Bukit Sendayan di sini, turut terbakar.

"Semua kebakaran itu adalah akibat cuaca panas sekarang. Malah, di daerah Seremban, kami menerima 15 panggilan melaporkan kebakaran hutan dan belukar," katanya di sini, hari ini.

Norazam berkata, seramai 46 pegawai dan anggota bomba kini bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di semua enam kawasan terbabit.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membakar sesuka hati, terutama di kawasan belukar untuk mengelakkan kebakaran yang jika tidak diawasi boleh merebak ke tempat lain.

"Penduduk kampung perlu memastikan kebun dibersihkan kerana rumput dan lalang yang panjang boleh terbakar dengan sendiri ketika cuaca panas," katanya yang turut menasihat perokok tidak membuang puntung rokok yang masih menyala ke belukar.

Sementara itu, Pengarah SWCorp negeri, Zainal Fitri Ahmad, berkata kebakaran di pusat pelupusan sampah Bukit Palong, berjaya dikawal selepas menggunakan teknik memasukkan air dalam lubang yang digali pada longgokan sampah yang terbakar dan kemudian dikambus dengan tanah.

Katanya, SWCorp bersama SWM Environment dan Jabatan Bomba dan Penyelamat memantau rapi kebakaran di situ.

Berita Harian X