Ahad, 27 March 2016 | 3:39pm

Sheila On 7 'letak harga' munasabah


ANGGOTA kumpulan Sheila On 7, Duta (kiri), Brian (tengah) dan Adam pada sidang media di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Band popular Indonesia, Sheila On 7 (S07) mengaku pernah 'letak harga' pada zaman kegemilangan mereka namun ia sesuai dengan skala persembahan dan keperluan semasa.

Vokalisnya, Duta berkata, setiap penyanyi yang menjayakan konsert perlu menimbang pelbagai perkara terutama kos sistem sokongan seperti tenaga pakar dan peralatan teknikal bagi memberi hasil terbaik.

"Dalam setiap kerjaya, pasti berlaku evolusi yang membawa kepada perubahan. Sheila On 7 tidak terkecuali. Tetapi, bukan bermakna andai membabitkan wang, orang di luar terus melihat ia sebagai isu negatif.

"Bagi kami, tidak salah menetapkan harga kepada promoter selepas beberapa tahun kumpulan ini berada dalam industri. Ini kerana wang itu bukan semata-mata dimasukkan ke dalam poket sendiri, sebaliknya demi memberi yang terbaik untuk penonton dan peminat," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur.

Sheila On 7 bakal menghiburkan peminat dalam konsert di ibu negara, malam ini.

Mereka diterbangkan ke Kuala Lumpur sempena Konsert 20 Tahun SO7 di StarXpo Hall, KWC Fashion Mall. Kesempatan ini diambil band itu untuk mempromosikan album studio berjudul Musim Yang Baik.

Memberitahu BH Online, Duta berkata, permintaan band itu termasuk dalam soal bayaran bukanlah sesuatu yang tidak masuk akal.

Duta mengulas desas desus kononnya selepas konsert solo mega band itu pada tahun 2006, promoter tempatan tidak lagi mahu mengundang mereka disebabkan isu harga.

Akui Duta lagi, kunjungan ke Kuala Lumpur kali ini lebih bermakna kerana mereka tampil solo dalam persembahan berskala besar di Malaysia.

Sehubungan itu, kesempatan diambil untuk mengimbas nostalgia lalu menerusi rangkaian dendangan hit termasuk Sephia.

Selain Duta atau nama sebenar Akhdiyat Duta Modjo, kumpulan alternatif rock dari Yogjakarta, Indonesia yang mencipta nama di Malaysia sejak tahun 1999 turut membariskan Eross Candra, Adam Muhammad Subarkah dan Brian Kresna Putro.

Peminat Sheila On 7 masih berpeluang mendapatkan tiket berharga RM75, RM110, RM150 dan RM190 dengan melayari laman web www.ilassotickets.com.

Mereka juga boleh mendapatkan tiket di cawangan Rock Corner dan Victoria Music di Sungei Wang, Amcorp Mall, Tropicana Mall, The Curve, Mid Valley dan Subang Parade.

Berita Harian X