Ahad, 27 March 2016 | 12:15pm
ANGGOTA bomba mencari remaja yang dilapor hilang di Pengkalan Tok Mas di Pedu, selepas operasi disambung semula pagi ini. - Foto Zuliaty Zulkiffli

Operasi cari remaja lemas di Pedu disambung

PADANG TERAP: Operasi mencari seorang remaja lelaki, Mohd Firdaus Abu Bakar Yap, 18, yang dilaporkan hilang ketika mandi di pusat rekreasi Pengkalan Tok Mas, di Jalan Pedu, di sini, disambung dengan lokasi pencarian mangsa diperluas.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Ahmad Nasir Jaafar, berkata operasi yang dihentikan petang semalam disambung jam 8 pagi ini dengan lima bot digunakan untuk mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan masing-masing dua milik polis dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang.

Katanya, sebuah bot milik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Padang Terap turut digunakan dalam operasi berkenaan yang diperluaskan sehingga sembilan kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh semalam.

"Operasi mencari mangsa bermula sejak jam 5 petang semalam dan kini operasi mencarinya sudah mencecah kira-kira 18 jam, namun gagal mengesannya.

"Anggota bomba dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Sungai Petani dan anggota Pasukan Polis Marin dari Pulau Pinang turut turun membantu untuk mencari mangsa," katanya.

Dalam kejadian jam 4.20 petang semalam, Mohd Firdaus dikhuatiri lemas selepas dikatakan hilang ditelan arus deras ketika mandi di Pengkalan Tok Mas.

Berita Harian X