Ahad, 27 March 2016 | 10:37am

Pening kepala paksa Nadal tarik diri


RAFAEL Nadal. - Foto AP

MIAMI: Bintang sensasi Sepanyol, Rafael Nadal berkata, faktor pening kepala memaksa dia menarik diri daripada aksi pusingan kedua berdepan Damir Dzumhur dalam Terbuka Miami, hari ini.

Keadaan itu menimpa pemenang 14 gelaran Grand Slam itu ketika berjuang di set ketiga dalam suasana panas di gelanggang berhampiran Selatan Florida itu.

Dzumhur yang menduduki ranking ke-94 dunia ketika itu mendahului perlawanan dengan 2-6 6-4 3-0.

Kali terakhir Nadal menarik diri dalam perlawanan adalah pada suku akhir Terbuka Australia 2010 menentang Andy Murray.

"Semuanya baik sehingga akhir set pertama," kata Nadal. "Kemudian saya berasa pening kepala, badan berasa lemah dan ia semakin teruk dan teruk."

"Saya mahu menghabiskan perlawanan, tetapi serius saya tidak mampu. Ia sangat sukar, kerana saya berasa saya memulakan permainan dengan baik. Saya memilih untuk berhenti kerana bimbang dengan keadaan kesihatan saya."

Pilihan keempat Stan Wawrinka turut terkeluar malam tadi selepas pemain dari Switzerland itu 'dipaksa mengemas beg' dengan kekalahan mudah 6-4 6-3 kepada pemain Russia Andrey Kuznetsov.

Pilihan keenam dari Jepun, Kei Nishikori meneruskan perjuangannya apabila menundukkan Pierre-Hugues HErbert 6-2 7-6(4). - AP

Berita Harian X