Sabtu, 26 March 2016 | 10:28pm

Remaja hilang dalam sungai dikhuatiri lemas

ALOR SETAR: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dikhuatiri lemas selepas hilang dibawa arus ketika mandi di Pengkalan Tok Mas, Jalan Pedu, petang tadi.

Dalam kejadian itu jam 4.20 petang, Mohd Firdaus Abu Bakar, 18, dipercayai sedang mandi di kawasan itu sebelum dihanyutkan arus deras.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Mohammad Lukman, berkata operasi mencari mangsa dimulakan pada jam 5.15 petang namun masih belum ditemui hingga kini.

Beliau berkata, pihak bomba menerima panggilan pada jam 4.20 petang sebelum menggerakkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang dan lima anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Sungai Petani.

"Operasi mencari membabitkan pencarian di dasar di sekitar sungai menggunakan bot aluminium dan pasukan PPDA dipercayai masih dalam perjalanan ke lokasi kejadian bagi meneruskan pencarian, " katanya hari ini.

Berita Harian X