Sabtu, 26 March 2016 | 9:43pm

RM200,000 untuk Dewan MUC Kampung Nyabor - PM


NAJIB bersama James Jemut beramah mesra bersama warga DUN Nangka dan peniaga di Bandung Walk, malam ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

SIBU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluluskan peruntukan khas RM200,000 bagi menaik taraf Dewan Kelab Kesatuan Melayu (MUC) Kampung Nyabor, di sini malam ini.

Beliau mengumumkan perkara itu ketika melakukan program tinjauan mesra di Bandung Walk, medan selera popular di Kampung Bandung yang juga destinasi pelancongan terkemuka di bandar ini.

"Saya dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapaee bahawa dewan ini mempunyai sejarah tersendiri yang begitu unik, ....satu warisan yang seharus dibanggakan dan dipulihara.

"Justeru, saya meluluskan peruntukan RM200,000 seperti dimohon oleh Dr Annuar bagi memperbesarkan dewan ini, termasuk menaik taraf kemudahan sedia ada kerana kepentingannya sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan setempat," katanya.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata selain sebagai pusat perkembangan aktiviti masyarakat, Dewan MUC juga menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi penduduk setempat, terutama peniaga makanan dan minuman.

Dalam nada berseloroh, beliau menyatakan makan malam itu yang 'termahal' pernah dibayarnya apabila mengumumkan peruntukan khas berkenaan.

"Apapun, kita melakukannya (memberi peruntukan) demi rakyat. Kerajaan BN adalah sebuah kerajaan yang cukup prihatin terhadap nasib dan kebajikan rakyat. Kita sentiasa berusaha membantu meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Lagipun, saya dimaklumkan Dewan MUC turut menjadi tumpuan orang ramai untuk menjamu selera dan saya fikir ini cukup baik bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk setempat. Lebih besar tempat ini, maka lebih ramai penduduk kampung boleh berniaga," katanya.

Terdahulu, lebih 5,000 penduduk setempat menyambut ketibaan Perdana Menteri ketika melakukan program tinjauan mesra beliau, malah ada yang tidak melepaskan peluang bersalaman dengan pemimpin nombor satu negara itu, selain turut 'selfie' dengan beliau.

Najib turut meluangkan masa kira-kira sejam bertemu komuniti peniaga di medan selera popular itu sebelum bersantai sambil menikmati minuman kegemarannya, assam boi limau dicampur lemon di Dewan MUC.

Turut mengiringinya Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kemajuan Tanah Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing; Menteri Kewangan II Negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapaee.

Berita Harian X