Sabtu, 26 March 2016 | 8:44pm

Pelajar lemas di Air Terjun Cemerung


ANGGOTA JPAM mengangkat mayat mangsa ketika di Unit Forensik Hospital Dungun.

DUNGUN: Seorang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kuang, Kemaman, lemas ketika beriadah bersama 11 lagi rakan lain di kawasan Air Terjun Cemerung, Pasir Raja, di sini, petang tadi.

Mangsa, Mohamad Imran Morshidi, 16, ditemui sudah tidak bernyawa oleh pasukan Jabatan Hutan kira-kira jam 3.40 petang.

Terdahulu, mangsa bersama 11 lagi rakan sekampung berkonvoi dengan menaiki motosikal ke kawasan air terjun berkenaan untuk beriadah sempena cuti hujung minggu.

Rakannya, Mohamad Ikmal Danial Mohd Razi, 16, berkata ketika kejadian mangsa dan seorang lagi rakan mereka, Mohd Ikhbal Zamri, 16, dilihat terkapai-kapai ketika sedang mandi.

"Rakan-rakan yang lain cuba memberikan bantuan kepada kedua-dua mereka namun hanya berjaya menyelamatkan Ikhbal. Ketika arwah sudah tiada lagi dari pandangan, kami terpaksa meminta bantuan kakitangan Jabatan Hutan untuk mencarinya," katanya.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada anggota keluarga untuk pengebumian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Berita Harian X