Sabtu, 26 March 2016 | 12:53pm

Djokovic mara pusingan ketiga Terbuka Miami


NOVAK Djokovic. - Foto AP

MIAMI: Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic mara ke pusingan ketiga Kejohanan ATP dan WTA Terbuka Miami hari ini apabila menewaskan pemain Britain berkedudukan 87 dunia, Kyle Edmund 6-3, 6-3.

Bintang berusia 28 tahun dari Serbia itu, yang memburu mahkota Miami ketiga berturut-turut dan gelaran keempat tahun ini, selepas ini akan berdepan pemain Portugal, Joao Sousa.

Djokovic meraih gelaran perseorangan ke-11 Grand Slam pada Januari di Terbuka Australia dan juga menang di Doha serta Indian Wells tahun ini.

Sementara itu, juara Terbuka Australia, Angelique Kerber bangkit selepas tersingkir awal dalam dua kejohanan sebelum ini menerusi kemenangan 6-1 6-1 pada pusingan kedua mengatasi Barbora Strycova.

Kerber, yang menewaskan pemain nombor satu dunia Serena Williams untuk mahkota sulung Grand Slam di Melbourne, memperbaiki rekodnya berdepan pemain Republik Czech itu kepada 4-0 tanpa kalah dalam sebarang set. - AGENSI

Berita Harian X