Ahad, 26 Oktober 2014 | 2:28pm
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah. - Foto Mohd Kamil Rahim

Lelaki warga Myanmar maut dipukul rakan senegara - Polis

BUTTERWORTH: Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dengan kesan kecederaan parah di kepala dan leher dipercayai dipukul rakan senegara dalam pergaduhan di rumah sewa mereka di Taman Chai Leng, Perai di sini, awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, mayat lelaki dikenali sebagai Dunai itu ditemui dibuang di kawasan semak, kira-kira 500 meter dari rumah sewa itu.

Katanya, polis menerima laporan daripada majikan lelaki itu yang memaklumkan dua pekerjanya bergaduh dalam kejadian pukul 2 pagi itu.

"Peniaga berusia 56 tahun itu memaklumkan dia menerima panggilan telefon daripada rakannya yang memberitahu dua pekerja warga Myanmar yang tinggal di tingkat dua rumah kedai berkenaan bergaduh.

"Dia yang tinggal di taman yang sama bergegas ke rumah kedai berkenaan dan mendapati tiada sesiapa di situ dan hanya menemui kesan darah atas lantai yang ditutup dengan selimut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mazlan berkata, daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di situ, peniaga itu mendapati dua pekerjanya itu masing-masing berusia 30-an bergaduh dan suspek telah memukul Dunai dan menjerut lehernya hingga mati.

Katanya, suspek dilihat membawa keluar mayat dan kemudiannya masuk semula ke dalam rumah dan membersihkan darah di lokasi kejadian.

Polis sedang giat mengesan suspek, katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata, mayat seorang lelaki dengan kesan luka di kepala dan kelar di leher ditemui di kawasan semak dalam kebun bersebelahan projek pembinaan bangunan di Kampung Tiga Kongsi, Simpang Ampat di Nibong Tebal malam tadi.

Mayat lelaki tanpa identiti itu ditemui oleh orang awam pada pukul 10 malam sebelum memaklumkan kepada polis.

"Pasukan polis yang bergegas ke tempat kejadian mendapati mayat lelaki dengan wajah tidak sempurna akibat hampir reput itu berbungkus dengan kotak kertas yang telah basah dan berikat dengan tali nylon," katanya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kedua-dua kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat, katanya. - BERNAMA

13 dibaca
Berita Harian X