Sabtu, 26 March 2016 | 12:45am

7 peserta terakhir perdengarkan bacaan al-Quran


NOR Azrah memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran pada Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Auditorium Cempaka Sari, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Tujuh peserta terakhir memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran pada Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-59 bagi Tahun 1437H/2016M di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya (PPj) malam tadi.

Bacaan ayat suci Al-Quran dimulakan oleh qariah dari Johor Nor Azrah Ayub diikuti qari dari Sabah Zunaidi@Ady Misdaranai dan qariah dari Sarawak Salina Ali.

Qari dari Wilayah Persekutuan Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad kemudian memperdengarkan bacaan al-Quran disusuli qariah dari Selangor Nor Faizah Panut, qari dari Kedah Mohammad Nazif Zulkhairi dan qariah dari Sabah Siti Hatijah Mursuki.

Seramai 14 qari dan 14 qariah mewakili negeri-negeri di Malaysia termasuk Johan Bertahan Qari dan Qariah telah memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran masing-masing sejak Selasa malam.

Pengumuman keputusan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan edisi ke-59 itu akan diadakan pada esok malam dengan penyampaian hadiah dijadual disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Johan qari dan qariah, masing-masing akan membawa pulang wang tunai RM15,000, sebuah piala iringan, sebuah kereta Proton Exora, pakej menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

Naib johan kedua-dua kategori itu pula akan menerima wang tunai RM10,000, cenderamata dan sijil penyertaan, manakala tempat ketiga menerima RM7,000, cenderamata dan sijil penyertaan.

Majlis Tilawah Al-Quran itu disiarkan secara langsung di saluran TV1, TV AlHijrah dan radio Nasional FM serta IKIM FM atau melalui web TV Jakim di www.jakim.tv.

- BERNAMA

Berita Harian X