Sabtu, 26 March 2016 | 12:00am
PENYANYI dangdut tanah air, Ifa Raziah. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PRESIDEN Persatuan Bintang Dangdut Malaysia (PBDM), Ifa Raziah. - Foto Aziah Azmee

Ifa Raziah tubuh persatuan dangdut, mahu terus gelek


KIRA-KIRA dua dekad lalu, irama dangdut tiba-tiba menggegarkan industri muzik negara ini. Saat itu, beberapa bintang dalam genre muzik terbabit muncul menghiasi persada seni tanah air seperti Amelina, Mas Idayu, Sheeda, Haiza dan Ifa Raziah.

Begitupun, perkembangan pesan muzik beransur-ansur menenggelamkan irama berkenaan, apatah lagi dengan kemunculan genre lain. Walaupun masih aktif, penyanyi irama berkenaan juga semakin dipandang sepi.

Namun, sejak dua tahun kebelakangan ini, irama terbabit bagai kembali diminati apabila penyanyi seperti Cita Citata meledak bersama lagu Sakitnya Tuh Di Sini dan Goyang Dumang. Walaupun bertapak di Indonesia, tempiasnya tetap dirasa di negara ini.

Pada masa sama, Amelina juga kembali ke arena muzik selepas sekian lama menghilang. Baru-baru ini muncul dengan single Cinta Harus Seksi, dendangannya turut mendapat tempat di hati peminat biarpun tidak sehebat Rindu, Asyik, Semakin Rindu Semakin Asyik, Bulan Cinta dan banyak lagi lagu nyanyiannya dulu.

Berikutan itu, ramai penyanyi dangdut menganggap genre muzik berkenaan sebenarnya masih relevan, cuma ia kurang diberi perhatian oleh segelintir pihak.


Antara warga asing yang diperiksa oleh Jabatan Imigresen dalam operasi bersepadu oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, malam ini.

ARTIS dangdut Indonesia, Cita Citata. - Foto Mohd Adam Arinin

Menyedari irama dangdut dianggap sebagai kelas kedua oleh segelintir pihak, Ifa Raziah mengambil langkah dengan menubuhkan Persatuan Bintang Dangdut Malaysia (PBDM) bagi menaikkan kembali martabat genre muzik berkenaan.

"Jika orang kata dangdut sudah dipandang sepi, saya anggap ia sebenarnya sudah kembali mekar, lebih-lebih lagi selepas lagu Cita Citata menjadi popular di negara kita.

"Tetapi sayangnya, apabila penyanyi dangdut tempatan muncul dengan lagu baharu, mereka tidak dilayan. Jika hendak diikutkan, saya memang sedikit bengang dengan segelintir pihak yang masih lagi memperlekehkan muzik dangdut.

"Jadi, saya sebagai Presiden menubuhkan persatuan ini kerana mahu bangkit dan buktikan kepada umum dangdut masih relevan untuk diketengahkan," katanya.

Kata Ifa, seramai 18 penyanyi menyertai persatuan berkenaan dengan jawatan Timbalan Presiden dipegang oleh Sheeda, manakala Mas Idayu dan Amelina pula sebagai Naib Presiden.


PENYANYI dangdut tanah air, Amelina. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Masih lagi mencari badan korporat yang bersedia menyalurkan dana, PBDM bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, dalam sibuk menaikkan martabat muzik dangdut, Ifa memberitahu dirinya dilamar untuk bernaung di bawah syarikat rakaman Sony Music Malaysia.

Ternyata, walaupun perlu bersaing dengan ramai penyanyi muda, Ifa masih mempunyai aura dan personaliti tersendiri untuk melangkah maju dalam dunia seni muzik tanah air.

"Ada yang anggap saya sudah tidak laku. Bagaimanapun syukurlah apabila Tuhan sentiasa memberikan rezeki kepada saya sehingga hari ini.

"Pihak Sony pula melamar saya selepas melihat kredibiliti persembahan saya pada program Gegar Vaganza, tidak lama dulu, selain kemampuan saya menyanyi lagu dangdut.

"Buat masa ini, saya masih menunggu lagu yang sesuai mengikut cita rasa saya. Sony juga memberi kebebasan untuk saya memilih lagu yang dirasakan sesuai dengan saya bagi projek rakaman terbaharu," ujar finalis kategori Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 29 ini.

Dalam perkembangan lain, Ifa juga sibuk dengan penggambaran drama berjudul Mak Punya Pasal yang akan disiarkan bersempena dengan Hari Ibu nanti.

130 dibaca
Berita Harian X