Jumaat, 25 March 2016 | 8:21am

David Beckham beli tanah bina stadium


BEKAS pemain bola sepak ternama England, David Beckham. - Foto AFP

MIAMI: Bekas pemain bola sepak ternama England, David Beckham hampir pasti mencapai impian untuk melancarkan francais Major League Soccer (MLS) dengan membeli tanah untuk stadium di Miami, kata seorang rakan kongsinya semalam.

Difahamkan kumpulan pelabur Beckham memperoleh tanah di kawasan kejiranan Overtown di barat laut pusat bandar dekat Florida.

Difahamkan Beckham, 40, mula menggerakkan projek stadium dengan 20,000 tempat duduk sejak lewat 2013.

Beberapa cubaan untuk membeli tanah di lokasi lain gagal selepas berdepan tentangan daripada penduduk dan pihak berkuasa tempatan yang khuatir dengan peningkatan lalu lintas di bandar yang sedia padat.

Miami Beckham United Group kini perlu membeli tanah awam tambahan untuk tempat letak kereta dan meyakinkan bandar berkenaan untuk meluluskan permit pembinaan, lapor Miami Herald.

Untuk menangani kebimbangan stadium yang mungkin tidak dapat menyediakan tempat letak kereta mencukupi, kumpulan itu berkata pengunjung boleh berjalan kaki kerana tapak itu dekat dengan stesen pengangkutan awam dan pusat bandar. - AFP

Berita Harian X