Khamis, 24 March 2016 | 10:22pm

PETRONAS yakin bekalan berlebihan LNG akan susut


Naib Presiden Perniagaan Huluan dan Projek LNG Global Petronas, Adnan Zainal Abidin. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: PETRONAS yakin permintaan gas asli cecair (LNG) akan meningkat sekali gus situasi bekalan berlebihan akan reda dengan tiada loji baharu dibina.

Naib Presiden Perniagaan Huluan dan Projek LNG Global Petronas, Adnan Zainal Abidin, berkata terdapat sejumlah projek LNG yang tertunda atau tidak diluluskan.

"Jika loji berkenaan tidak dibangunkan, oleh itu tinggal menunggu masa sahaja untuk LNG mendapat permintaan semula dan akan tiba di satu peringkat di mana permintaan akan mengatasi bekalan.

"Harga LNG yang rendah ketika ini mungkin hanya bagi tempoh sekarang memandangkan kita mempunyai sejumlah loji LNG yang beroperasi pada masa yang hampir sama, yang mana ia menambah kepada lebihan itu," katanya pada Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia 2016 yang memasuki hari ketiga hari ini.

Mengenai kapal untuk kemudahan LNG terapung pertamanya di Sarawak, Adnan berkata, kapal pertama yang ditempah akan berlepas dari limbungan pada September manakala kapal yang lain pada akhir tahun.

Sementara itu, Petronas Floating LNG1 (L) Ltd (FLNG) hari ini menganugerahkan Perjanjian Perkhidmatan Jangka Panjang kepada SapuraKencana GE Oil & Gas Services Sdn Bhd (SKGE) untuk menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan bagi dua kapal LNG terapung yang akan tiba tersebut.

SKGE adalah usaha sama antara SapuraKencana Services Sdn Bhd dan GE Power Systems (M) Sdn Bhd.

Aktiviti penyelenggaraan itu akan dijalankan sepenuhnya oleh usaha sama sekumpulan jurutera servis lapangan bertauliah dan pakar diagnostik tempatan, menurut SapuraKencana dalam satu kenyataan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SapuraKencana Petroleum Bhd, Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata pusat penyelenggaraan dan pembaikan berpangkalan di Malaysia itu adalah antara yang paling kompetitif dari segi kos dalam rangkaian pembaikan GE Oil & Gas keseluruhan.

"Kejayaan pusat berkenaan membuktikan tenaga tempatan yang kami telah latih dan akhirnya menjadi pakar dan peneraju dalam melaksanakan penyelesaian FLNG.

"Bagi masa depan, kami berusaha untuk mencapai prestasi operasi terbaik dan pada masa yang sama terus mengekalkan kos yang rendah. Kami akan terus mengembangkan kedudukan kukuh serantau kami dan kekal komited bagi kemapanan jangka panjang industri itu di Malaysia," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X