Khamis, 24 March 2016 | 7:50pm

Lori kontena bawa sayur terbakar di Nilai


ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah lori kontena di Kilometer 272.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan petang tadi.

NILAI: Sebuah lori kontena membawa muatan sayur dari Selayang, Selangor, ke Johor Bahru, Johor, terbakar di Kilometer 272.9 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah selatan di sini, petang tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian itu jam 5.20 petang, pemandu lori, Isham Md Don, 45, bersama kelindannya, Samri Hasan, 25, tidak cedera.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mohd Syazwan Saidy, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.36 petang dan tiba di lokasi 15 minit kemudian bersama satu jentera dan 10 anggota.

Katanya, kelindan lori itu menyedari kebakaran itu selepas melihat api dari bahagian tayar belakang, dan memberitahu pemandu yang segera memberhentikan kenderaan untuk menyelamatkan diri.

"Sebaik tiba, api sedang marak dan bomba mengambil masa kira-kira 13 minit untuk memadamkan kebakaran lori yang musnah kira-kira 60 peratus," katanya di sini, hari ini.

Mohd Syazwan berkata, punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Berita Harian X