Khamis, 24 March 2016 | 6:32pm
Pelakon, Sharnaaz Ahmad memenangi Anugerah pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem menerusi Filem Gila Baby pada Anugerah Skrin 2015 di PWTC. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Sharnaaz berazam menang trofi ABPBH 29


Sharnaaz Ahmad di majlis tayangan episod akhir drama Mencintaimu di Zam Zam Cafe Bandar Utama. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Pelakon, Sharnaaz Ahmad mensasarkan untuk menang sekurang-kurangnya satu daripada tiga kategori mencalonkan namanya pada Anugerah Bintang Popular BH ke-29 (ABPBH 29) yang bakal mencapai kemuncaknya pada 8 Mei depan.

Aktor yang turut bergelar pengarah itu menjadi finalis dalam dua kategori utama iaitu Pelakon Filem Lelaki Popular dan Pelakon TV Lelaki Popular, manakala bagi kategori online pula beliau bersaing bersama sembilan calon lain untuk merebut trofi Artis Trending Popular.

Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad, 31, berkata, beliau juga akan turun padang membantu kelab peminatnya, Sharnaaz Ahmad Familia, untuk sama-sama berusaha memastikan dirinya mendapat undian.

"Hampir setiap tahun nama saya dicalonkan dalam ABPBH, tetapi belum pernah menang. Memandangkan pada tahun ini saya mendapat tiga pencalonan, takkan satu pun tak sangkut bukan?

"Saya akan memastikan sekurang-kurangnya mendapat satu anugerah daripada tiga pencalonan kali ini. Kalau mendapat lebih daripada itu pun, apa salahnya (sambil ketawa)?

"Yang penting, saya akan berganding bahu membantu kelab peminat untuk mengundi sebanyak yang mungkin," katanya kepada BH Online.

Menerusi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Sharnaaz bersaing dengan Abam, Remy Ishak, Shaheizy Sam dan Syafie Naswip. Dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular pula, beliau berdepan dengan cabaran Faizal Hussein, Fattah Amin, Kamal Adli dan Remy.

Kategori Artis Trending Popular yang bakal menyaksikan pengundian dilakukan secara atas talian, selebriti lain yang dicalonkan ialah Arja Lee, Atikah Suhaime, Ayda Jebat, Fasha Sandha, Fazura, Tasha Shilla, Uqasha Senrose, Yuna dan Zizan Razak.

Sementara itu, Sharnaaz memberitahu beliau merancang untuk bercuti bersama peminat sebagai tanda penghargaan buat mereka yang sentiasa menyokong kerjaya seninya.

"Sepatutnya pada tahun lalu saya bersama kelab peminat merancang bercuti ke Janda Baik, Pahang. Bagaimanapun ia terpaksa dibatalkan atas alasan tertentu. Justeru untuk tahun ini, saya akan merancang semula percutian bersama mereka.

"Peminat yang banyak membantu saya sehingga berada pada tahap sekarang. Jadi, tidak mungkin saya akan buat tidak tahu saja selepas segala sokongan diberikan? Insya-Allah mungkin kami akan ke Pulau Langkawi jika ada rezeki nanti," ujarnya.

Berita Harian X