Khamis, 24 March 2016 | 4:30pm

Semua perlu bekerjasama kekang ketirisan


GAMBAR hiasan.

Susunan pelbagai barang yang dirampas dan disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan sendiri menunjukkan betapa serius dan komited agensi penguat kuasa menangani isu rasuah di negara ini.

Sementara siasatan masih dijalankan, kenyataan yang dibuat oleh Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki pada 19 Mac lalu juga memperlihatkan jenayah rasuah boleh berlaku di mana-mana sahaja, sama ada oleh orang dalam sesebuah agensi atau organisasi sendiri ataupun ekoran kerjasama atau pembabitan pihak luar.

Beberapa hari sebelum sidang media oleh Azam, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Khusairi Yahya dipetik sebagai berkata, hasil kajian dari 2010 hingga 2015 menunjukkan peningkatan dalam kes tuntutan palsu dan penyelewengan dalam pengurusan perolehan, khususnya pembelian terus dan sebut harga pada peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Walaupun telah acap kali dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara mengenai pelbagai bentuk penyelewengan dalam pengurusan perolehan, isu ini terus berulang. Kesannya amat besar sehingga boleh menimbulkan kurang kepercayaan rakyat terhadap agensi yang terbabit.

Sepanjang tempoh lima tahun itu, sebanyak 114 maklumat diterima berhubung kes penyelewengan dan tuntutan palsu membabitkan dua pihak, sama ada kakitangan kerajaan dan pembekal atau kontraktor. Jumlah perolehan yang terbabit dianggarkan melebihi RM31 juta.

Ops Tiris pantau belanja

Selari dengan dasar semasa kerajaan untuk memastikan perbelanjaan berhemat dan langkah berjimat cermat, SPRM Kuala Lumpur melancarkan operasi khas yang dinamakan Ops Tiris. Sementara empat orang ditahan seorang lagi dicaj pada 17 Mac lalu.

Berdasarkan satu kes yang didedahkan oleh Azam, ketirisan wang kerajaan dianggarkan RM100 juta, dipercayai membabitkan satu tempoh lebih kurang 10 tahun. Malah, menurut Khusairi, SPRM mengenal pasti 16 bentuk penyelewengan yang kerap berlaku dalam sistem perolehan membabitkan pegawai yang diberi amanah berkaitan urusan perolehan dan perbekalan.

Ia termasuk menerima komisen antara lima hingga 10 peratus berdasarkan harga projek daripada syarikat yang berjaya, membocorkan maklumat termasuk nilai kontrak kepada kontraktor tertentu, menciplak kertas cadangan dikemukakan oleh pihak tertentu dan kemudian memberi kepada syarikat lain, sengaja meminta syarikat-syarikat tertentu memasuki sebut harga dengan harga lebih tinggi, sengaja mencipta sebut harga menggunakan kepala surat atau profil syarikat tertentu sedangkan syarikat itu sendiri tidak tahu-menahu mengenainya dan berpakat dengan syarikat pembekal untuk mendapatkan sebut harga lima syarikat yang lain sebagai syarat mematuhi peraturan.

Bentuk kesalahan kerap dilakukan oleh syarikat pembekal pula termasuk menyogok pegawai untuk memenangi projek atau kontrak ditawarkan, peranan orang tengah yang mengumpulkan profil syarikat lain untuk memasuki sebut harga, meraikan pegawai bagi tujuan melobi projek, membayar rasuah untuk mendapatkan surat sokongan orang kenamaan, membuat tuntutan penuh sedangkan pembekalan barangan tidak lengkap atau mencukupi dan mengurangkan kualiti barangan yang dibekalkan.

Jejas kualiti perkhidmatan

Amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam sistem perolehan akan mendatangkan kesan amat negatif. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada masyarakat selaku pengguna, tetapi juga terhadap pegawai agensi terbabit serta di pihak kontraktor. Malah, ia boleh merugikan masyarakat jika peralatan, perkhidmatan atau projek yang sepatutnya siap sempurna terbengkalai atau tidak wujud, menggagalkan usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat dan rasuah akan menjadi budaya serta mencetuskan rasa tidak puas hati serta hilang kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan.

Justeru, ketua jabatan perlu lebih bertanggungjawab, akauntibiliti dan peka terhadap perlakuan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Mereka tidak harus melepas tangan dan tahu membezakan kuasa budi bicara sehingga berlakunya penyalahgunaan kuasa. Setiap ketua jabatan perlu membentuk sistem pemantauan dan kelulusan berlapis. Ia bukan bertujuan untuk mewujudkan kerenah birokrasi tetapi mengurangkan keputusan terhadap sesuatu pembelian berpusat kepada seseorang individu sahaja.

Pemeriksaan mengejut ke atas pelaksanaan projek wajar dilaksanakan bertepatan dengan konsep turun padang. Syarikat pembekal atau kontraktor yang gagal memenuhi syarat kontrak atau sebut harga wajib disenarai hitam dan diambil tindakan undang-undang.

Meskipun pihak berkuasa telah memperbaiki sistem dan prosedur berbanding situasi satu atau dua dekad yang lalu, memandangkan isu ketirisan masih mendapat perhatian termasuk hasil Laporan Ketua Audit Negara, prosedur operasi standard (SOP) sistem pengurusan kewangan perlu diteliti semula. Ini termasuk sistem audit sendiri. Dalam hal ini kerjasama orang ramai juga penting bagi membolehkan SPRM bertindak dengan efektif dan bebas.

Jika setiap individu mempunyai kesedaran etika kerja, mengamalkan sikap integriti dan amanah dalam menjalankan tugas, ketirisan dapat diatasi.

36 dibaca
Berita Harian X