Khamis, 24 March 2016 | 2:46pm

Remaja maut terjerut buaian

ALOR SETAR: Seorang pelajar Tingkatan Dua maut dipercayai terjerut pada jaring buaian di hadapan rumahnya di Kampung Alor Kumbang, Pendang, petang semalam.

Mangsa, Nur Syahirah Mustafa, 14, ditemui dalam keadaan melutut sambil lehernya terjerut pada jaring buaian di hadapan rumahnya.

Mangsa sebelum itu dikatakan sedang bermain buaian jaring yang digantung antara dua tiang di anjung rumahnya bersama anak saudaranya yang berumur setahun.

Kakak mangsa, Norliza Mustafa, 37, berkata adik bongsu daripada lapan beradik itu membawa anaknya yang sedang menangis masuk ke rumah pada jam 4.50 petang sebelum mangsa keluar semula untuk bermain buaian itu.

"Kira-kira 40 minit kemudian, bapa saudara saya masuk ke dalam rumah dan memaklumkan adik terjerut di jaring buaian.

"Saya segera keluar untuk selamatkan dia dan terus membawanya ke Hospital Yan tetapi Nur Syahirah disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim, berkata pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 5.30 petang yang dibuat oleh bapa saudara mangsa.

"Bapa saudara mangsa yang tinggal bersebelahan rumah mangsa cuba mengejutkan mangsa yang disangka sedang tidur.

"Mangsa yang dijumpai dalam keadaan terduduk di buaian dihantar ke Hospital Yan tetapi disahkan meninggal dunia. Doktor memberitahu terdapat kesan jerutan di leher mangsa.

"Mayat mangsa dibawa ke HSB untuk bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui punca kematian mangsa," katanya.

18 dibaca
Berita Harian X