Khamis, 24 March 2016 | 11:51am

'Beautiful Terengganu' sasar pelancong Johor, Singapura

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (dua dari kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong (kiri) melawat pameran Terengganu Kitchen selepas Majlis Pelancaran Beautiful Terengganu Malaysia 2016, di Angsana Mall Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Kira-kira 100,000 penduduk negeri ini termasuk Singapura dijangka mengunjungi Program Beautiful Terengganu yang diadakan selama lima hari sehingga Ahad ini bagi mempromosikan lokasi menarik serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri itu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata program pertama di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sebelum ini turut mencatat kehadiran 100,000 pengunjung.

Katanya, program kali ini menampilkan empat acara utama iaitu pertunjukan, pameran perniagaan, Dapur Terengganu dan Travel Mart yang diharap dapat menarik kehadiran pelancong dari Johor serta Singapura ke Terengganu.

"Menerusi empat seksyen ini, pengunjung bakal melihat gambaran dan persepsi sebenar keindahan Terengganu iaitu negeri cantik budaya menarik," katanya ketika melancarkan program itu, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong.

Ahmad Razif berkata, program itu menjadi antara inisiatif kerajaan negeri bagi mempromosi dan mengetengahkan produk PKS dan perkhidmatan pelancongan ke persada antarabangsa.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan 6.5 juta peningkatan pelancong ke Terengganu bagi tempoh lima tahun akan datang.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, kira-kira 75 peratus projek pulau bebas cukai Tasik Kenyir sudah disiapkan dan dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya November ini.

Katanya, hampir semua kemudahan di pulau berkenaan sudah siap termasuk kuarters, Jabatan Kastam dan Imigresen.

Berita Harian X