Rabu, 23 March 2016 | 12:04am
BESI yang masih panas diketuk dengan tukul bagi mendapatkan bentuk yang dikehendaki dalam proses pembuatan parang tradisional Bajau di Kampung Siasai Jaya. - Foto Malai Rosmah Tuah
PROSES pemanasan besi atau keluli yang dipilih untuk pembentukan mata parang. - Foto Malai Rosmah Tuah
PROSES mengukir bahagian hulu parang berunsurkan budaya dan warisan masyarakat Bajau. - Foto Malai Rosmah Tuah
PARANG tradisional Bajau yang dihasilkan oleh keluarga Ramlan Salon di Kampung Siasai Jaya. - Foto Malai Rosmah Tuah
BESI yang masih panas kemudiannya akan diketuk dengan tukul bagi mendapatkan bentuk yang dikehendaki bagi penghasilan parang tradisional Bajau di Kampung Siasai Jaya. - Foto Malai Rosmah Tuah
BESI yang masih panas kemudiannya akan diketuk dengan tukul bagi mendapatkan bentuk yang dikehendaki dalam proses pembuatan parang tradisional Bajau di Kampung Siasai Jaya. - Foto Malai Rosmah Tuah
PROSES pembuatan parang tradisional Bajau di Kampung Siasai Jaya. - Foto Malai Rosmah Tuah

Satu kampung hasilkan parang Bajau


KOTA BELUD: Arus kemodenan yang ditempuh termasuk penggunaan mesin dalam proses penghasilannya, tidak menghakis kesenian dan keindahan parang tradisional Bajau di Sabah.

Situasi itu menyaksikan, pembuatan parang tradisional di daerah ini masih mengekalkan motif ukiran berkait rapat dengan kebudayaan, kesenian dan warisan masyarakat Bajau, sama ada pada matanya, mahupun sarung atau hulu.

Selain mempertahankan nilai kesenian, pembuatan parang di daerah ini juga terus diwarisi secara turun temurun seperti sekitar Kampung Siasai Jaya di sini, apabila kira-kira 80 peratus daripada penduduknya terbabit dalam aktiviti itu.

Di kampung yang terletak tiga kilometer dari Pekan Kota Belud itu, bengkel kecil untuk tujuan penghasilan parang Bajau dapat dilihat hampir di setiap pekarangan rumah.

Pengusaha parang di Kampung Siasai Jaya, Ramlan Salon, menegaskan pembuatan senjata terbabit di situ tetap mempertahankan nilai kesenian dan kebudayaan, walaupun kini lebih mudah ekoran penggunaan mesin.


PENGUSAHA parang tradisional Bajau, Ramlan Salon (kanan) bersama dua anak lelakinya Wan Fauzie (kiri) dan Mohd Aswadie di Kampung Siasai Jaya. - Foto Malai Rosmah Tuah

PENGUSAHA parang tradisional Bajau di Kampung Siasai Jaya, Kota Belud, Ramlan Salon. - Foto Malai Rosmah Tuah

Ramlan, 61, yang terbabit dengan penghasilan parang sejak berusia awal 20-an, adalah generasi ketiga dalam keluarganya yang mengusahakan parang Bajau dan legasi itu kini disambung tiga daripada empat anaknya.

"Itulah uniknya pembuatan parang di daerah ini kerana diwarisi turun temurun daripada nenek moyang kami. Ilmu ini diperturunkan kepada anak dan seterusnya nanti kepada cucu supaya tidak lenyap ditelan zaman dan arus pemodenan.

"Dalam keluarga saya, hanya anak perempuan tidak membuat parang. Tiga anak lelaki iaitu Wan Ramzie, 38; Wan Fauzie, 35 dan Mohd Aswadie, 30, masing-masing turut menjadikan pembuatan parang sebagai kerja sambilan," katanya.

Bercerita lanjut, Ramlan yang membuat parang secara sepenuh masa sejak 40 tahun lalu, berkata pembuatan peralatan itu juga ada pantang larangnya.

"Kita tidak boleh sesekali melangkah parang kerana ia akan membuatkan senjata itu tumpul. Jika terlangkah, apa yang perlu dilakukan, kita undur balik," katanya sambil menjelaskan parang Bajau adalah senjata mempertahankan diri bagi masyarakat itu pada zaman lampau, sama seperti fungsi keris di Semenanjung.

Katanya, peredaran masa menyaksikan pembuatan parang menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk kerana ia kini lebih berfungsi sebagai cenderamata untuk dibawa pulang oleh pelancong atau dihadiahkan kepada orang kenamaan.


BESI atau keluli yang dipilih untuk dijadikan parang, melalui proses pemanasan secara manual menggunakan pemanas tradisional. - Foto Malai Rosmah Tuah

BESI atau keluli yang dipilih untuk dijadikan mata parang melalui proses pemanasan secara manual menggunakan peralatan pemanas khas tradisional. - Foto Malai Rosmah Tuah

"Kebanyakan pelanggan kami bukan saja dari seluruh Sabah atau penduduk setempat, malah membabitkan pelawat dari Semenanjung, selain pelancong luar seperti Jepun, Cina dan Korea.

"Ada juga datang ke rumah untuk membeli parang jika tidak sempat berbuat demikian di tamu mingguan Pekan Kota Belud," katanya yang sudah menghasilkan ribuan jenis parang sepanjang terbabit dalam perusahaan itu.

Beliau berkata, sejak kira-kira 10 tahun lalu, pembuatan parang yang selama ini menggunakan kaedah tradisional, mula lebih cepat dan cekap kerana dibantu penggunaan mesin.

"Penggunaan mesin menjimatkan masa dan tenaga, malah lebih banyak parang dapat dihasilkan. Namun, ia tidak mengubah motif ukiran parang, sarung dan hulu yang masih bercirikan budaya dan warisan masyarakat Bajau.

"Parang dijual pada harga RM50 sehingga RM1,500 sebilah bergantung kepada panjang, kualiti sarung dan jenis besi serta kayu," katanya sambil menambah sebilah parang mampu disiapkan dalam masa dua hari.


MESIN kini turut digunakan dalam proses penghasilan parang tradisional Bajau di Kampung Siasai Jaya. - Foto Malai Rosmah Tuah

Atas faktor kesihatan, Ramlan yang mempunyai lapan cucu kini hanya sesekali membuat parang bagi membantu anak-anaknya, terutama jika ada tempahan.

"Kami akan mempertahankan warisan ini kerana warissan nenek moyang, peredaran masa tidak menghalang pembuatan parang tradisional Bajau terus kekal dan sebab itu saya menurunkan ilmu dan kepakaran ini kepada anak dan cucu," katanya.

Bagi Mohd Aswadie, dia mula menghasilkan parang ketika berada di Tingkatan Dua, terutama pada cuti sekolah manakala abangnya, Wan Fauzie, bermula seawal usia 12 tahun.

"Apa yang membanggakan, koleksi parang buatan keluarga kami sudah sampai ke luar negara termasuk Amerika Syarikat," katanya.

Beliau menjelaskan, parang tradisional Bajau mempunyai pelbagai termasuk gayang atau pedang selain beladau (parang) yang boleh didapati dalam pelbagai ukuran.

Katanya, gayang atau pedang diguna untuk mempertahankan diri atau melindungi keluarga dengan bentuknya seperti pedang samurai Jepun, namun mempunyai banyak ukiran pada bilah dan sarungnya.


PROSES mengukir bahagian hulu parang berunsurkan budaya dan warisan masyarakat Bajau. - Foto Malai Rosmah Tuah

PROSES mengukir bahagian hulu parang berunsurkan budaya dan warisan masyarakat Bajau. - Foto Malai Rosmah Tuah

"Beladau pula boleh didapati dalam pelbagai ukuran iaitu besar dan kecil dengan kegunaannya untuk memotong kayu dan menyembelih haiwan.

"Motif ukiran parang ini pula pelbagai termasuk mempunyai kaitan rapat dengan kebudayaan, kesenian serta warisan masyarakat Bajau seperti sarimpak (mahkota) dan lemba serta selisir (tenunan tradisi Bajau), selain tumbuhan," katanya.

 

# Info Parang Tradisional Bajau

* Parang - Beladau (pelbagai saiz, besar dan kecil), guk, pidah

* Pedang - Gayang

* Sarung dan hulu parang - dibuat daripada teras pokok seperti acasia magium dan tanduk kerbau atau rusa, bergantung kepada tempahan serta permintaan

* Sebaik sahaja digunakan, parang mesti dicuci dan dibersihkan hingga kering sebelum disimpan dalam sarung.

 

Pusat pembuatan parang tradisional Bajau: 

* Kampung Siasai

* Kampung Siasai Jaya

* Kampung Siasai Dundau

187 dibaca
Berita Harian X