Selasa, 22 March 2016 | 3:34pm

GABEM mahu lahir ramai usahawan muda


PENGERUSI Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik.

JASIN: Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) memperhebatkan siri jelajah ke seluruh negara bagi membangkitkan semangat keusahawanan dalam kalangan golongan muda.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik, berkata sebanyak 20 lokasi dipilih bagi melaksanakan usaha itu tahun ini dengan tumpuan diberikan di pusat pengajian tinggi dan masyarakat luar bandar.

Katanya, golongan sasar boleh mendapatkan pelbagai input serta maklumat untuk memulakan kerjaya sebagai usahawan menerusi Pusat Sehenti GABEM (PSG) di lokasi penjelajahan, terutama berkaitan pinjaman, kursus serta latihan.

"Sejak program ini dilaksanakan beberapa tahun lalu, kira-kira 6,000 orang sudah menyertai PSG dan ia dapat diteruskan lagi tahun ini dengan memilih 20 lokasi sehenti.

"GABEM yakin usaha ini mampu memberi semangat dan galakan kepada bakal usahawan untuk menceburi bidang keusahawanan, seterusnya meningkatkan lagi ekonomi diri serta bangsa," katanya selepas menyampaikan ucaptama sempena perasmian PSG di Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan EXCO Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abd Rahman.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif GABEM, Datuk Seri Mohammad Izat Hassan dan Pengarah Politeknik Merlimau, Zulkarnain Iobshi.

PSG yang dimulakan sejak tahun 2010 menyediakan platform untuk usahawan dan bakal usahawan bertemu dengan semua jabatan serta agensi kerajaan berkaitan bidang perniagaan.

Ia juga memberi pendedahan, peluang latihan dan khidmat nasihat serta menjadi lokasi terbaik bagi usahawan setempat membina hubungan perniagaan dalam usaha meningkatkan perniagaan mereka.

Berita Harian X