Selasa, 22 March 2016 | 12:07am
Naufal dan Nur Nisa saling bekerjasama dan memberi semangat antara satu sama lain demi mencapai impian mereka untuk kurus. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Nur Nisa sedia mematuhi arahan dan menerima tunjuk ajar daripada Abdul Halim demi mendapat bentuk badan yang sihat. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Naufal dan Nur Nisa gigih bersenam bersama setiap hari. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Naufal dan Nur Nisa menjalani latihan intensif bersama Halim demi mendapatkan bentuk badan yang sihat dan cergas. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Naufal dan Nur Nisa ketika ditemui wartawan BH. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Abdul Halim selaku jurulatih kecergasan kepada dua beradik bermasalah obesiti. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Dua beradik bersaing kuruskan badan



KUALA LUMPUR: Membesar sebagai dua beradik yang gemuk, pernah menyebabkan mereka hilang keyakinan diri serta malu untuk berdepan rakan, kerana sering dipersendakan ekoran tidak mampu aktif dalam sebarang aktiviti.

Nekad mahu mengubah penampilan diri, Mohd Naufal Mohd Hizal, 19, mengikut rentak ayahnya berguru dengan jurulatih bina badan profesional, Abdul Halim Budin, dengan menjadikan ruang belakang rumah mereka sebagai sebuah gimnasium.

Bagi Naufal, melihat perubahan mendadak pada tubuh ayahnya yang 'sado' menjadi satu motivasi kepada dirinya untuk turut berubah, apatah lagi sudah mula rimas dengan saiz pinggang yang mencecah 42 inci dengan pipi yang tembam.

"Walaupun mulanya tidak yakin dapat turunkan berat badan tetapi selepas mengikuti program yang diatur jurulatih, saya dapat rasakan perubahan ketara dan mampu lakukannya.

"Selepas lebih setahun berlatih, berat badan saya turun lebih 15 kilogram iaitu 75 kilogram berbanding 90 kilogram sebelum ini dengan saiz pinggang menyusut sehingga kepada 32 inci. Ia membakar semangat saya untuk terus berlatih apabila rakan-rakan mula memuji penampilan baharu," katanya.


Naufal dan Nur Nisa bukan setakat gigih bersenam, malah sentiasa menjaga pemakanan mereka bagi mengelak diri daripada kembali menghadapi masalah obesiti. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Naufal dan Nur Nisa menyifatkan usaha bersenam secara bersama dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Namun, perubahan Naufal tidak dapat menandingi adiknya, Nur Nisa Mohd Hizal, 16, yang berjaya tampil menawan, berubah daripada seorang bertubuh gempal kepada gadis yang ramping dan ayu.

Pelajar Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Setia Budi itu mula berjinak dengan alatan gimnasium beberapa bulan selepas melihat perubahan pada diri abangnya.

Sejak itu, dua beradik itu mula berpasangan memerah keringat setiap petang menerusi program senaman sehingga Nur Nisa berjaya menurunkan berat badan yang ketara dalam masa setahun.

"Sebelum ini tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk memasuki acara maraton kerana susuk tubuh yang gempal ketika itu menjadikannya satu perkara mustahil. Malah, saya malu bergaul dengan orang.

"Alhamdulillah, selepas komited dengan program yang latihan senaman yang disediakan, saya berjaya memenangi pingat emas dalam acara maraton sekolah meskipun pertama kali menyertainya. Malah, cikgu turut meminta menyertai acara 800 meter dan saya menang.


Naufal dan Nur Nisa berdisiplin tinggi demi mencapai impian mereka untuk mengelak daripada terus hidup dalam keadaan obesiti. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Naufal dan Nur Nisa gigih menjalani latihan dan bersenam secara intensif. - Foto Mohd Yusni Ariffin

"Bukan itu saja, perubahan saya begitu ketara jika dilihat kepada gambar saya dahulu. Daripada berat 80 kilogram, kini saya selesa dengan sekitar 45 kilogram dan mengekalkannya dengan menjaga rutin pemakanan dan senaman," katanya.

Mengulas keupayaan dua beradik itu menurunkan berat badan, Abdul Halim berkata, perubahan ketara mereka disebabkan disiplin tinggi selain mampu mengatur jadual harian secara tersusun.

"Jadual mereka padat. Meskipun Nur Nisa bersenam setiap petang, dia masih mampu dapat 9A dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun lalu. Apa yang saya lihat, mereka sangat berdisiplin.

"Saya sediakan jadual latihan serta pelan pemakanan yang wajib mereka ikut. Kadang-kadang, saya pun terkejut dengan komitmen mereka kerana begitu mengawal pemakanan dan tidak pernah 'ponteng' latihan," katanya.

Meskipun terhidang di depan mata, namun dua beradik itu tetap mengelak daripada mengambil makanan yang berminyak dan minuman manis bagi mengekalkan susuk tubuh yang mantap.


Naufal pernah mempunyai berat barat sehingga 90 kilogram (kiri) sebelum turun kepada 75 kilogram hasil senaman berterusan. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Nur Nisa ketika berdepan masalah obesiti (kiri), berjaya mendapatkan bentuk badan dengan berat yang sesuai (kanan) selepas setahun gigih bersenam. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Naufal berkata, antara lain punca dia mahu berubah adalah kerana selama ini pergerakannya sering terbatas, malah untuk duduk ketika solat juga menjadi kesukaran kepadanya.

"Mahu duduk di khalayak ramai pun rasa malu, terpaksa lindung sana sini supaya tidak kelihatan lipatan lemak di sana sini," katanya.

Nur Nisa pula menegaskan, yang latihan di gimnasium semata-mata tidak menjadikan mereka berjaya tetapi apa yang lebih utama disiplin menjaga diet pemakanan supaya apa yang diambil benar-benar kualiti dan sihat.

"Jangan kerap rehat. Saya sendiri berlatih setiap hari dan hanya berehat pada hujung minggu. Berlatih bersama keluarga dapat merapatkan hubungan dan menjadikan kami lebih mesra.

"Jadual saya padat. Waktu persekolahan dari pagi hingga jam 4 petang. Jam 5 petang saya mula berjoging dan jam 5.30 petang terus mula berlatih di gimnasium.

"Dari jam 6.30 petang hingga 8.30 malam, ada tuisyen pula. Jam 9 malam saya perlu siapkan kerja rumah sebelum masuk tidur, rehat hanya untuk makan dan solat," katanya.

 

29 dibaca
Berita Harian X