Isnin, 21 March 2016 | 11:40pm

4 atlet olahraga Russia sah ambil meldonium


Menteri Sukan Moscow, Vitaly Mutko.

MOSCOW: Empat atlet olahraga Russia didapati positif kerana menggunakan bahan terlarang meldonium, kata ketua olahraga negara itu semalam, pendedahan yang menggugat usaha Moscow untuk menarik balik larangan penggantungan menjelang Sukan Olimpik di Rio.

Sekurang-kurangnya 16 atlet lelaki dan wanita Russia termasuk bintang tenis dunia, Maria Sharapova dan peluncur papan luncur Semion Elistratov yang pernah memenangi pingat emas Olimpik, sudah pun didapati menggunakan bahan terlarang itu oleh Agensi Anti-Doping Dunia sejak 1 Januari.

Meskipun amaran daripada pegawai sukan mengatakan pesaing Russia juga berkemungkinan menggunakan bahan terlarang itu, Menteri Sukannya, Vitaly Mutko memberitahu Reuters pada 11 Mac lalu yang meldonium tiada kena mengena dengan atlet di negaranya.

Tetapi ketua Persekutuan Olahraga Russia (ARAF) berkata empat atlet kini sudah didapati positif.

"Kami mendapat maklumat yang empat atlet didapati positif kerana meldonium. Kami akan berbincang mengenainya hari ini," katanya menerusi petikan di agensi berita Interfax.

Shlyakhtin tidak menamakan atlet itu dan masih belum diketahui sama ada pelari pecut Russia, Nadezhda Kotlyarova, yang sebelum ini mengaku menggunakan meldonium termasuk daripada empat atlet itu atau tidak.

Skandal itu bakal merumitkan lagi Russia untuk mempertahan diri bagi membuktikan mereka bebas daripada sebarang anti doping selepas penggantungan daripada menyertai kejohanan antarabangsa pada tahun lalu susulan pendedahan penyalahgunaan doping dan rasuah negara itu.

Jika mereka gagal menarik kembali penggantungan itu, atlet Russia akan terlepas daripada menyertai Olimpik di Rio de Janeiro yang bakal bermula 5 Ogos ini - satu tamparan besar buat negara itu yang terkenal dengan kekuatan dalam sukan olahraga. - Reuters

Berita Harian X