Isnin, 21 March 2016 | 11:27pm

Penyelewengan RM107 juta tak jejas Sukan SEA 2017


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menberikan sidang media mengesahkan bahawa individu yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung isu penyelewengan, merupakan pegawai Kementerian Belia dan Sukan. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Penyelewengan dana kerajaan bernilai RM107 juta dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menjejaskan penganjuran Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dan beberapa projek pembangunan sukan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata penyelewengan tersebut tidak membabitkan kos menaik taraf Kompleks Sukan Bukit Jalil bernilai RM1.1 bilion bagi penganjuran Sukan SEA 2017.

"Saya berpendapat ia tidak akan memberi kesan kepada Sukan SEA kerana ini secara khusus berkaitan kelulusan tertentu yang diberi kepada satu daripada agensi.

"Kerja naik taraf Kompleks Sukan Bukit Jalil itu dibuat secara tender terbuka melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Proses perolehan Kompleks Bukit Jalil itu tidak dibuat di peringkat KBS," katanya pada sidang media berhubung isu penyelewengan itu di sini hari ini.

SPRM pada Jumaat lalu menahan seorang setiausaha bahagian di kementerian itu selepas disyaki terbabit mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta.

Selain pegawai kanan KBS yang berusia 56 tahun itu, SPRM turut menahan tujuh lelaki dan seorang wanita yang semuanya adalah kontraktor syarikat penganjuran acara.

Ditanya sama ada KBS akan mengkaji semula projek dan program di bawah kementerian ekoran kes berkenaan, Khairy berkata kes penyelewengan itu hanya khusus kepada bentuk peruntukan yang tidak membabitkan projek pembangunan setakat ini.

"Projek dan program pembangunan yang tidak membabitkan kelulusan peruntukan yang digunakan dalam kes ini, akan terus berjalan seperti biasa, tetapi kalau pasukan bebas perlu melihat kepada semua prosedur kelulusan KBS, kami sedia untuk bekerjasama dengan pasukan itu," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X