Isnin, 21 March 2016 | 6:23pm
PEMENANG Anugerah Pasangan Pilihan, Janna Nick (kiri) dan Saharul Ridzwan (tiga dari kanan) pada Malam Anugerah DFKL 2016 di PWTC. - Foto Adi Safri

Peminat Hati Perempuan tak suka Janna berlakon dengan Saharul

PELAKON, Janna Nick pemenang Aktres Pilihan menerusi Malam Anugerah Drama Festival KL 2016 (DFKL 2016) di PWTC. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Aktres Pilihan, Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2016, Janna Nick mendedahkan dirinya pernah dikecam hebat apabila dirinya dengan Saharul Ridzwan digandingkan bersama dalam Kau Aku Kita.

Selain trofi terbabit, drama terbitan JS Pictures itu juga memenangi beberapa kategori lain termasuk Pasangan Pilihan untuk dirinya dan pelakon lelaki itu pada acara yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Sabtu lalu.

Menurut Janna, pada awalnya beliau mendapat tentangan hebat daripada peminat drama Hati Perempuan, lakonan Saharul bersama seorang lagi bakat baharu, Mia Ahmad.

"Gara-gara digandingkan dengan Saharul saya dikecam hebat oleh peminat tegar drama Hati Perempuan di laman sosial, termasuk Instagram. Saya dicerca dengan pelbagai komen negatif.

"Saya memilih untuk tidak ambil pusing dengan hal itu kerana ia lebih bersifat peribadi. Hentaman itu memanglah tidak adil untuk saya. Begitupun, saya jenis yang enggan memeningkan kepala sendiri. Jadi, biarlah mereka hendak berkata apa saja. Jika sesuatu komen itu berkaitan dengan kerjaya dan prestasi lakonan, memang saya akan ambil perhatian.

"Alhamdulillah di sebalik semua itu, kejayaan drama Kau Aku Kita memberikan makna tersendiri buat kerjaya seni saya," kata Janna atau nama lengkapnya, Nurul Jannah Muner.

Anugerah yang dimenangi gadis dari Sungai Petani, Kedah ini turut menjadi pengiktirafan sulung buatnya. Mula berlakon secara sambilan sejak lima tahun lalu, Janna memberitahu beliau hanya benar-benar aktif menceburi bidang seni sejak 2015.

"Secara keseluruhannya, ia kemenangan produksi JS Pictures, termasuk penyokong drama ini. Bagi kategori peribadi iaitu Aktres Pilihan, saya sejujurnya berasakan calon lain seperti Ayda Jebat dan Zara Zya yang mungkin membawa pulang trofi," katanya yang turut berjinak-jinak dalam dunia nyanyian apabila tampil dengan single Mungkin Saja ciptaan Kuncidemak, baru-baru ini.

Calon awal kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 29 itu ketika ini sibuk di lokasi drama bersiri Suami Tanpa Cinta, terbitan Pena Creative, di sisi Shukri Yahaya.

"Minggu depan saya akan ke Paris, Perancis, untuk merakamkan beberapa babak drama ini di sana. Saya juga akan menjalani penggambaran program Ketuk Ketuk Syawal bersama Sheila Rusly awal Mei nanti," katanya yang mula dikenali menerusi drama rantaian, Syurga Nur.

Berita Harian X