Isnin, 21 March 2016 | 1:15pm

Ecah kembali ke sekolah


WAJAH ceria Siti Nuraisyah Sahrin, 13 menghadiri perhimpunan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Terap, Sungai Panjang. - Foto Muhammad Sulaiman

SABAK BERNAM: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Bagan Terap, Siti Nuraisyah Sahrin, 13, yang putus kedua-dua belah kaki akibat digilis lori pada 18 Januari lalu, kembali ke sekolah hari ini, selepas dua bulan menjalani rawatan.

Siti Nuraisyah yang lebih mesra disapa Ecah, kelihatan bersemangat dan gembira terutama dapat bertemu rakan dan guru selepas tidak bersekolah kerana menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) akibat kemalangan itu.

Walaupun keadaannya tidak seperti rakan lain, Ecah berharap dia dapat belajar dengan baik demi masa depannya.

"Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya pada masa depan. Terima kasih kepada guru, rakan dan orang ramai yang sentiasa memberi sokongan kepada saya," katanya.

Dalam kejadian pada jam 3.30 petang pada 18 Januari lalu, Ecah yang membonceng motosikal Honda EX5 ditunggang kakak tirinya, Syahmin Amira Roslan, 14, terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah.

Remaja berkenaan yang terjatuh di atas jalan raya selepas motosikal itu bergesel dengan kereta, tidak sempat bangun, lalu digilis lori sehingga menyebabkan kedua-dua belah kakinya putus.

25 dibaca
Berita Harian X