Isnin, 21 March 2016 | 9:10am

Peserta umrah Kumpulan MPB berangkat ke Tanah Suci


SEBAHAGIAN daripada kakitangan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) dan keluarga masing-masing berdoa sebelum berlepas untuk menunaikan ibadat umrah dan ziarah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

SEPANG: Seramai 125 peserta terdiri daripada 47 kakitangan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) dan ahli keluarga masing-masing berangkat ke Tanah Suci hari ini bagi menunaikan ibadat umrah.

Rombongan berkenaan berangkat ke Madinah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.05 pagi sebelum ke Makkah pada Khamis ini dan dijangka pulang ke Malaysia 1 April depan.

Pengurus Perhubungan Pekerja MPB merangkap Ketua Rombongan Program Umrah dan Ziarah 2016, Fauzi Hashim berkata program berkenaan kali keenam dianjurkan bersama antara The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) dan MPB sejak 2004.

"Program ini dianjurkan bagi memberi peluang kepada kakitangan terutama mereka yang belum pernah ke Tanah Suci menunaikan umrah.

"Syarikat berbesar hati membiayai sebahagian kos pakej umrah sebagai aktiviti untuk kakitangan yang mana mereka hanya dikenakan bayaran lebih murah berbanding pakej biasa," katanya ketika ditemui di KLIA di sini, hari ini.

Berita Harian X