Sabtu, 25 Oktober 2014 | 1:02pm

Bukan nak badan berketul-ketul, cuma kecergasan - Shiha

KUALA LUMPUR: Beberapa tahun kebelakangan ini kesedaran artis untuk menonjolkan gaya hidup sihat dan sentiasa segar dengan melakukan senaman, dilihat semakin menyerlah.

Malah ada di antara selebriti tempatan yang meluangkan masa menganjurkan aktiviti senaman bersama peminat mereka yang dilihat satu perkembangan positif.

Selepas Sharifah Sakinah menerusi Fitness Sakinah, giliran Atilia selepas itu muncul menganjurkan senaman yoga secara percuma di Taman KLCC setiap Sabtu.

Terbaharu, bintang Mentor musim kelima siaran TV3, Shiha pula menganjurkan senaman bersama mereka yang berminat di bawah gelaran #shiworkout.

Buat pertama kalinya protege kepada Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini ini menganjurkan sesi senaman sulungnya bersama peminat juga di Taman KLCC, pagi tadi.

"Saya bukan nak bersaing atau meniru sesiapa. Cuma tergerak untuk berkongsi pengetahuan dengan orang lain. Saya mula bersenam secara aktif sejak setahun lalu.

"Malah bermula dengan bersenam sendiri, saya mula mendapatkan khidmat jurulatih kecergasan peribadi.

"Dulu saya hanya ikut saja melakukan senaman tanpa ambil tahu sama ada ia betul atau tidak.

"Selepas bersama jurulatih kecergasan peribadi, pengetahuan saya terhadap senaman jadi lagi baik. Sebab nak berkongsi apa yang saya pelajari, maka bermulalah siri menganjurkan #shiworkout ini," katanya.

Buat permulaan Shiha menganjurkan aktiviti kecergasan itu secara percuma.

"Insya-Allah kalau ada sambutan, saya akan mengenakan bayaran yang berpatutan kerana sesi senaman ini menggunakan khidmat jurulatih kecergasan.

"Saya buat semua ini pun sebab datang dari semangat diri. Saya tak dambakan badan yang berketul-ketul, cuma cukup tegap dan mendapatkan stamina apatah lagi saya memerlukan tenaga ketika membuat persembahan.

"Untuk sebarang kemas kini mengenai sesi senaman itu boleh ikuti Instagram Shiha @shihamentor.

Berita Harian X