Ahad, 20 March 2016 | 11:49pm

Southampton bangkit atasi Liverpool


PEMAIN Southampton, Sadio Mane (kiri) jaring gol pertama pasukan dalam aksi menentang Liverpool di Stadium St Mary, sebentar tadi. - Foto AFP

SOUTHAMPTON: Southampton mempamerkan kebangkitan menakjubkan ketika menewaskan Liverpool 3-2 selepas ketinggalan 2-0, sebentar tadi.

Sadio Mane meledak dua kali untuk membantutkan harapan Liverpool untuk menghampiri kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris walaupun mendahului babak pertama dengan dua gol.

Jaringan melencong Philippe Coutinho pada minit ke-17 berjaya menewaskan Fraser Forster untuk Liverpool mendahului permainan, dan Daniel Sturridge melebarkan kedudukan selepas serangan balas pantas empat minit kemudian.

Namun selepas rehat Southampton mengubah rentak permainan dengan peluang merapatkan jurang muncul pada minit ke-49 apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti, namun percubaan Mane diselamatkan Simon Mignolet.

Mane bagaimanapun menebus kekecewaannya empat minit kemudian dengan jaringan pada minit ke-63 sebelum Graziano Pelle menyamakan kedudukan tujuh minit sebelum tamat permainan.

Derita Liverpool tidak berhenti setakat itu apabila Mane meledak gol kemenangan tiga minit sebelum tamat - memberikan tiga mata berharga untuk meletakkan Southampton di tangga ketujuh dengan 47 mata. - Reuters

Berita Harian X