Ahad, 20 March 2016 | 11:58am

Mourinho setuju pra kontrak kendali United - El Pais

BEKAS pengurus Chelsea, Jose Mourinho. - Foto Reuters

LONDON: Jose Mourinho yang juga bekas pengurus Chelsea dilaporkan sudah menandatangani pra kontrak bersama Manchester United bagi membimbing pasukan itu di Old Trafford pada musim panas ini.

Pengendali dari Portugal itu yang dipecat The Blues pada Disember lalu dikaitkan bakal menggantikan Louis van Gaal sejak tiga bulan lalu.

Menurut laporan akhbar Sepanyol, El Pais, Mourinho yang diberi gelaran 'Special One' akan diberi pampasan sebanyak 15 juta pound (RM88 juta) jika dia tidak dilantik secara rasmi oleh United pada 1 Jun depan.

Akhbar itu melaporkan, sumber rapat kepada wakil Mourinho, Jorge Mendes mengesahkan bekas jurulatih Inter Milan dan Real Madrid itu sudah menandatangani pra kontrak untuk menyertai United tetapi The Red Devils masih boleh mengubah keputusan itu.

Dilaporkan, beberapa anggota beberapa berpengaruh dalam United termasuk Bobby Charlton dan bekas pengurus, Alex Ferguson masih ragu-ragu untuk memberikan tugas pengendali kepada Mourinho di Old Trafford.

"Jika United tidak menandatangani kontrak akhir (dengan Mourinho) sebelum 1 Mei, mereka perlu membayar pampasan sebanyak 5 juta pound (RM29.3 juta) dan jika pada 1 Jun mereka masih tidak tandatanganinya, mereka perlu membayar 10 juta pound (RM59 juta) lagi.

"Bulan Mei adalah kunci utama kerana ia adalah bulan untuk melakukan perubahan dalam pasukan dengan menandatangani pemain baharu," kata laporan itu.

"Mourinho sebelum ini mengesahkan dia akan memulakan tugas baru pada musim panas ini dan sedang menimbangkan beberapa tawaran yang diterimanya. - Agensi

Berita Harian X