Ahad, 20 March 2016 | 12:00am
KANAK-KANAK mengimbangkan badan yang pastinya akan menguji mental dan fizikal mereka di Skykids Warrior, Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail
KANAK-KANAK yang mencuba permainan di sini perlu memakai peralatan keselamatan. - Foto Fariz Iswadi Ismail
NURUL Huda Nabila Waduha, 4, mencuba permainan di Skykids Warrior. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Taman tema khas uji mental, fizikal kanak-kanak


PUTRAJAYA: Skykids Warrior taman tema khas cabaran kanak-kanak pertama di Malaysia yang mula dibuka awal Mac, kini menjadi tarikan terbaharu di Putrajaya.

Taman tema berkenaan dibina di kawasan zon kanak-kanak dalam Skyrides Festival Park yang dibangunkan bersebelahan Monumen Alaf Baru di Presint 2, di sini.

Pengarah Projek, Skykids Warrior, C J Han, berkata taman tema kanak-kanak sekarang kebiasaannya menawarkan permainan yang mana kanak-kanak hanya menunggang saja dan tidak membabitkan cabaran fizikal atau mental yang menguji adrenalin mereka.

"Ia juga mengetengahkan konsep pahlawan fantasi di zaman silam bagi memenuhi cita rasa dan kegemaran karektor animasi kanak-kanak masa kini," katanya.  

Katanya, merangkumi 15 jenis cabaran dan halangan yang berbeza, taman tema berkenaan pasti memberikan kelainan kepada aktiviti kanak-kanak yang pernah merasai cabarannya.

"Skykids Warrior adalah permainan kursus halangan kanak-kanak yang bertujuan membantu meningkatkan stamina, kekuatan mental dan fizikal, koordinasi otot selain meningkatkan kepintaran dan kreativiti mereka mengatasi cabaran yang disediakan.

BAYARAN RM38 dikenakan untuk seorang kanak-kanak bagi sekali masuk ke SkyKids Warrior. - Foto Fariz Iswadi Ismail

"Kanak-kanak perlu memanjat, melompat, merangkak, bergayut pada tali, mengimbangkan badan yang pastinya akan menguji mental dan fizikal mereka.

"Taman tema ini diilhamkan daripada cabaran SkyWarrior Rainforest yang sebelum ini hanya sesuai untuk pengunjung remaja atau dewasa saja.

"Kali ini kita cuba berikan kelainan dengan mewujudkan taman cabaran yang benar-benar fokus kepada kanak-kanak saja," katanya.

Beliau berkata 15 cabaran itu adalah Dolop Hop, Noodle Puddle, Walka Looma, Nettie Climb, Skybridge Mania, Tunnel-O-Funnel, Tippie Toe Walkie, Cracky Webby, Crawly Wally, Pod Riser, Wall-O-Maze, Logger Logs, Renegade Car, Forest Dash dan Leap-O-Faith.

Mengulas lanjut, katanya taman berkenaan dilengkapi dengan ciri keselamatan yang lengkap selain peralatan yang digunakan diperbuat daripada bahan tahan lasak dan dipilih khas dengan tahap keselamatan yang bersesuaian dengan kanak-kanak berumur lingkungan empat hingga 10 tahun.

MUHAMMAD Rayqal Zafri Ahmad Faisal, 3, mencuba permainan di Skykids Warrior. - Foto Fariz Iswadi Ismail

SKYKIDS Warrior taman tema khas cabaran kanak-kanak pertama di Malaysia yang mula dibuka awal Mac. - Foto Fariz Iswadi Ismail

"Kanak-kanak yang mencuba permainan di sini perlu memakai peralatan keselamatan termasuk topi, pad siku serta lutut dan membuat senaman regangan sebelum memulakan permainan. 

"Kusyen keselamatan diletakkan di tempat terdedah serta penggunaan peralatan keselamatan adalah amat menyeluruh dan diberi keutamaan oleh penyelia. 

"Selain itu, penyelia bertugas sentiasa ditempatkan di perkarangan kawasan Skykids Warrior bagi memantau keselamatan dan pengawasan di taman tema malah ibu bapa juga dibenarkan menemani kanak-kanak jika perlu," katanya.

 

Beliau berkata bayaran RM38 dikenakan untuk seorang kanak-kanak bagi sekali masuk ke SkyKids Warrior dan had umur yang dibenarkan adalah empat hingga 10 tahun saja. 

Kakitangan swasta, Irma Abdul Jaffar, 32, berkata beliau sering membawa anak-anaknya untuk bermain permainan lasak bagi membina keyakinan diri mereka.

Katanya, dua anaknya iaitu Muhammad Rayyan Ziqri Ahmad Faisal, 5, dan Muhammad Rayqal Zafri Ahmad Faisal, 2, yang mencuba permainan cabaran di Skykids Warrior tidak serik untuk mencuba permainan cabaran itu lagi selepas ini. 

Berita Harian X