Sabtu, 19 March 2016 | 11:43am

Kami perlu menang - Van Gaal

PENGURUS Manchester United, Louis van Gaal. - Foto AFP

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Louis van Gaal menekankan kepentingan menjelang pertembungan tetangga menentang Manchester City dengan menyifatkan ia perlawanan wajib menang seandainya Red Devils berhasrat untuk mara ke Liga Juara-Juara musim depan.

United kini empat mata di belakang City yang menduduki tangga keempat dengan Liga Perdana Inggeris (EPL) berbaki sembilan perlawanan.

Ditanya jika pertemuan tetangga itu sebagai aksi 'hidup dan mati' anak-anak buahnya, Van Gaal berkata: "Saya fikir, ya. Kami perlu menang. Jika tidak jurang akan semakin membesar dan membesar dan jumlah perlawanan semakin berkurangan."

"Jika tewas kami akan ketinggalan tujuh mata dan perlawanan hanya berbaki lapan perlawanan. Dan jumlah itu benar-benar cukup untuk kembali daripada jurang terbabit."

Satu lagi laluan untuk layak ke Liga Juara-Juara - melalui menjuarai Liga Europa - sudah tertutup rapat buat United berikutan penyingkiran mereka kepada Liverpool pada pusingan 16 terakhir Khamis lalu.

Perkara itu menyebabkan tekanan semakin memuncak terhadap Van Gaal, terutama selepas sejak pengurus sebelum ini David Moyes dipecat pada 2014 gara-gara kegagalan United menyambar tempat ke pertandingan paling elit Eropah itu.

Kemenangan di Stadium Etihad malam esok, bakal menghidupkan dan membolehkan United kembali pada landasan asal dalam memenuhi sasaran Van Gaal untuk membantu United beraksi di Liga Juara-Juara.

"Sasaran kami adalah untuk meraih tiga tempat terbaik kerana kami mahu melakukan lebih baik berbanding musim lalu," kata pengendali kelahiran Belanda itu. - AP

Berita Harian X