Sabtu, 19 March 2016 | 7:45am

Nadal, Djokovic mara separuh akhir Indian Wells


BEKAS pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic akan sertai Kejohanan Tenis Dunia Mubadala, esok. - Foto AFP

INDIAN WELLS, Amerika Syarikat: Pemain tenis nombor lima dunia, Rafael Nadal sedikit goyah sebelum bangkit menewaskan pemain Jepun, Kei Nishikori 6-4, 6-3 sekali gus melangkah ke separuh akhir kejohanan Indian Wells, hari ini.

Pemain kelahiran Sepanyol itu memburu satu lagi kejuaraan di kejohanan gabungan Jelajah ATP dan WTA itu selepas menjuarainya pada edisi 2007, 2009 dan 2013.

"Saya menewaskan pemain di kedudukan 10 terbaik dunia dan ia adalah sesuatu yang baik untuk keyakinan saya," kata Nadal selepas kemenangan ke atas Nishikori yang ketika ini menduduki ranking enam dunia.

"Esok adalah satu lagi lagi peluang buat saya untuk bermain satu lagi pemain terbaik," katanya.

Pertembungan Nadal-Nishikori dilihat antara pertembungan suku akhir menarik di Indian Wells yang menampilkan empat pemain di ranking 10 terbaik dunia.

Begitupun, lawan Nadal selepas ini lebih menarik iaitu pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic yang menewaskan pemain Perancis, Jo-Wilfried Tsonga 7-6 (7/2), 7-6 (7/2).

Nadal ketika ini bergelut dengan prestasi selepas gagal memenangi sebarang kejohanan sejak 18 bulan lalu sekali pun memiliki 14 gelaran Grand Slam.

"Saya merasakan saya kuat secara mental dan mempunyai tenaga yang sebenar," kata Nadal. 'Saya mampu bersaing untuk semua bola dan saya percayakan diri saya sepanjang perlawanan," katanya yang menamatkan perlawanan dalam masa 93 minit.

Kemenangan menambah rekod kemenangan Nadal terhadap Nishikori kepada 8-1.

Bagi pertembungan dengan Djokovic, Nadal mempunyai 23 rekod kemenangan daripada 47 pertemuan. - AFP

Berita Harian X