Sabtu, 19 March 2016 | 6:23am

Pertaruhan 'Manchester Derby' di Etihad


REAKSI pemain Manchester United ketika meninggalkan padang selepas tewas kepada Liverpool dalam saingan Liga Europa di Old Trafford, awal pagi semalam. - Foto AFP

KEGAGALAN juara Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak 20 kali, Manchester United melangkah ke suku akhir saingan Liga Europa awal pagi semalam, mencetuskan reaksi kecewa dan geram dalam kalangan penyokong setia mereka seluruh dunia.

United merakamkan keputusan seri 1-1 dalam aksi di Old Trafford itu, namun tersingkir dengan agregat 3-1 di tangan Liverpool yang menjadi musuh tradisi mereka sejak sekian lama.

Selepas terkeluar daripada saingan Eropah ini, pasukan bimbingan Louis van Gaal secara realistik kini tinggal satu trofi untuk dijulang iaitu Piala FA. Namun mereka perlu melalui aksi ulangan untuk ke separuh akhir selepas terikat 1-1 dengan West Ham.

Satu lagi trofi iaitu EPL, United boleh terus melupakannya. Ini kerana mereka kini sekadar menduduki tangga keenam liga hasil himpunan 47 mata, ketinggalan 16 mata di belakang pendahulu, Leicester City meskipun kurang satu aksi.

Sebaliknya, buat skuad bimbingan Jurgen Klopp, kemenangan itu meningkatkan moral The Reds untuk memburu satu-satunya piala yang tinggal untuk dirangkul musim ini selepas tercicir semua trofi dalam saingan domestik sebelumnya.

Tengah malam esok waktu Malaysia, barisan Van Gaal bertandang ke Etihad bagi menyalakan saki baki harapan musim ini menentang Manchester City dalam pertembungan tetangga atau Manchester Derby.

Baik The Red Devils atau The Citizens, kemenangan dalam aksi minggu ke-31 ini menjadi pertaruhan utama mereka. City kini menduduki tangga keempat liga dengan himpunan 51 mata, ketinggalan 12 mata di belakang Leicester.

Dengan seakan-akan peluang menjuarai liga semakin pudar tatkala aksi berbaki lapan lagi, barisan Manuel Pellegrini ini jelas tidak punya pilihan lagi. Etihad harus membolot semua mata dipertaruhkan.

Bagi perlawanan tetangga ini, saya meramalkan City memiliki kelebihan untuk menang. Selain menjadi tuan rumah, moral mereka juga melonjak selepas mara ke suku akhir Liga Juara-Juara meskipun seri 0-0 dengan Norwich City pada minggu lalu.

Pada pertemuan pertama di Old Trafford, 25 Oktober lalu, City-United terikat 0-0. Dan dalam enam aksi terakhir kedua-dua pasukan, City menang empat kali dan tewas sekali.

Sementara itu, Leicester dijangka mampu mengutip mata penuh ketika bertandang ke Stadium Selhurst bertemu Crystal Palace jam 11 malam ini untuk mengukuhkan kedudukan di puncak liga.

Satu lagi calon juara EPL, Tottenham Hotspur pula harus tiada masalah mengutip tiga mata ketika menyambut kunjungan Bournemouth di White Hart Lane esok selepas tersingkir daripada saingan Liga Europa kepada Borussia Dortmund, awal pagi semalam.

Liverpool pula bertandang ke St Mary's bertemu Southampton dengan kedua-duanya dilihat seimbang untuk meraih mata tatkala Arsenal yang tiada lagi piala untuk diburu berkunjung ke Everton dengan sasaran terus kekal empat terbaik. Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-31

Everton 1 - Arsenal 1

Crystal Palace 1 - Leicester City 2

Chelsea 1 - West Ham 1

West Brom 2 - Norwich City 2

Watford 0 - Stoke City 2

Swansea City 2 - Aston Villa 1

Newcastle 2 - Sunderland 1

Southampton - 1 Liverpool 1

Manchester City 1 - Manchester United 1

Tottenham Hotspur 2 - Bournemouth 0

Penulis adalah Penolong Editor Sukan BH

Berita Harian X